KUALA LUMPUR - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertemu dengan anak perempuan kepada Jamalul Kiram lll iaitu Jacel Kiram merupakan penderhakaan kepada negara.

Melalui pernyataan saksinya dalam perbicaraan kes saman fitnah Nurul Izzah terhadap beliau dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau beranggapan demikian kerana Nurul Izzah bertemu dengan individu yang dikaitkan dengan kumpulan yang mengisytiharkan perang terhadap Malaysia.

“Individu itu juga (Jacel Kiram) mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara dan menyebabkan beberapa anggota keselamatan terkorban.

“Atas sebab itu, pada pandangan saya tindakan plaintif (Nurul Izzah) tersebut boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota),” jelasnya.

Ismail Sabri berkata, beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selaras dengan peranan dan tanggungjawab beliau sebagai menteri dan pemimpin negara yang bertanggungjawab  terhadap perkara berhubung kepentingan negara.

“Saya juga bertanggungjawab sebagai menteri dan ahli parlimen dan wakil rakyat untuk menjelaskan kepada rakyat implikasi pertemuan plaintif dengan Jacel Kiram kerana insiden pencerobohan di Lahad Datu,” jelasnya.

Ismail Sabri berkata beliau, mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai jawapan kepada soalan wartawan pada satu Majlis Berkhatan Perdana anjuran Pemuda Umno di Dewan Rakan Muda Bera, Pahang pada 22 November 2015.

Sementara itu, ketika menjawab pemeriksaan balas oleh peguam R Sivarasa yang mewakili Nurul Izzah, Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menjelaskan, apa yang dicakapkan itu bukan tuduhan, sebaliknya merupakan pandangannya.

“Saya tidak menyebut atau mengisytiharkan plaintif sebagai penderhaka tetapi itu adalah pandangan saya terhadap tindakannya. Tuduhan dan pandangan adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau juga tidak mengetahui tentang dua kenyataan penjelasan yang dibuat plaintif berhubung isu gambar tersebut yang dimuat naik di Facebooknya.

Sementara itu menjawab soalan  Peguam Kanan Persekutuan, Zurin Elena Mohd Dom yang mewakilinya dan Khalid, Ismail Sabri berkata dia tidak mengetahui bahawa Nurul Izzah ada mengeluarkan penyataan maaf berhubung isu itu di laman Facebook miliknya.

“Saya difahamkan plaintif ada mengeluarkan permohonan maaf di Facebook. Bagaimanapun saya tidak ‘berkawan’ dengan dia di Facebook. Plaintif perlu berlaku jujur dengan membuat sidang akhbar untuk memaklumkan kepada rakyat.

“Permohonan maaf itu tidak dilaporkan di media. Saya hanya bergantung kepada media arus perdana,” katanya.

Zureen Elena kemudia memohon mahkamah untuk menutup kes berkenaan kerana tiada saksi yang akan dikemukakan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Faizah Jamaludin menetapkan 16 November ini untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak menyiapkan nota prosiding.

Pada 26 November tahun lalu Nurul Izzah memfailkan saman itu dengan mendakwa Khalid dan Ismail Sabri mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah terhadapnya dalam dua sidang media berasingan berkaitan gambar bersama Jacel Kiram ketika lawatan di Filiphina pada 2015.

Sehubungan itu plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, faedah, kos, dan perintah injunksi bagi menghalang defendan mengulangi dan menerbitkan perkataan fitnah tersebut.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertemu dengan anak perempuan kepada Jamalul Kiram lll iaitu Jacel Kiram merupakan penderhakaan kepada negara.
  • KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung dakwaan menuduhnya sebagai penderhaka kepada negara.
  • SHAH ALAM - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap kes berkaitan isu boikot yang mengundang...
  • KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap isu boikot peniaga yang mencetuskan sentimen perkauman selesai.