KUALA LUMPUR- Kes saman fitnah difailkan Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terhadap Ridwan Abu Samah selesai, selepas bekas Ketua Pendaftar Bahagian Masjid Tanah, Melaka di bawah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini.

Saman itu adalah berhubung status dan status bergambar yang dimuat naik Ridwan, yang juga anggota PPBM di laman Facebook miliknya yang didakwa memfitnah Ab Rauf, yang juga Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah.

Dalam penghakiman persetujuan yang dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datin Faizah Jamaludin, Ridwan selaku defendan dalam kes saman itu turut menyatakan penyesalan yang paling mendalam atas kesalahannya sendiri yang memahami gambar yang dimuat naik daripada konteks yang salah.

“Adalah dalam pengetahuan saya bahawa status bergambar itu merupakan sebuah resort di Masjid Tanah yang dimiliki oleh keluarga plaintif (Ab Rauf) dan telah didaftarkan atas nama Husin Yusoh, iaitu abang kepada plaintif.

“Atas penyesalan itu, saya menarik semula pernyataan-pernyataan saya di dalam status dan status bergambar berkenaan dan membuat aku janji bahawa saya saya tidak akan menerbitkan pernyataan yang sama di masa hadapan,” kata Ridwan ketika membacakan penghakiman persetujuan tersebut.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang membacakan kenyataan balas bagi pihak Ab Rauf, yang turut hadir pada prosiding hari ini berkata: “Atas kesanggupan defendan (Ridwan) menzahirkan penyesalan yang paling mendalam atas penerbitan status dan status bergambar tersebut serta aku janji yang dibuat, plaintif dengan ini menerima pernyataan (permohonan maaf) defendan”.

Mohd Hafarizam berkata defendan akan memuat naik kenyataan itu di laman Facebooknya atas nama 'Wan Motor' dan 'Ppbm Masjid Tanah' dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman persetujuan itu.

Penghakiman persetujuan berkenaan kemudiannya direkodkan oleh mahkamah.

Terdahulu, Mohd Hafarizam memaklumkan kepada mahkamah bahawa defendan (Ridwan) bersetuju untuk membacakan penghakiman persetujuan dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka terhadap anak guamnya.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang sebelum ini mewakili Ridwan memaklumkan kepada mahkamah bahawa perkhidmatan beliau sebagai peguam kepada defendan telah diberhentikan.

“Saya telah menerima surat daripada anak guam semalam bagi memberhentikan khidmat saya sebagai peguam dan tujuan saya datang pada hari ini adalah untuk rekod mahkamah,” katanya.

Sepatutnya, hari ini ditetapkan untuk prosiding pemeriksaan balas oleh Mohamed Haniff terhadap Ab Rauf yang menyambung keterangannya hari ini.

Ab Rauf, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman itu pada 5 Januari lepas atas dakwaan Ridwan telah memuat naik status dan status bergambar dalam Facebook miliknya atas nama 'Wan Motor' dan 'Ppbm Masjid Tanah' pada 11 Nov dan 12 November 2016 yang didakwa mengandungi perkataan-perkataan memfitnahnya.

Dalam pernyataan tuntutan, Ab Rauf mendakwa perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif seorang yang tidak jujur dan menggunakan kedudukan, jawatannya untuk mengaburi dan membeli hati rakyat khususnya penduduk di kawasan Masjid Tanah.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah, injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripadanya menerbitkan semula perkataan fitnah itu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee supaya membayar ganti rugi RM600,000 kepada bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh kerana fitnah berhubung tragedi ‘Double Six’.
  • PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dikemukakan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh berhubung saman fitnah mereka terhadap Nurul Izzah Anwar dan PKR berkaitan kenyataan pembelian lapan unit hartanah di KL Eco City.
  • KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Aktivis Bersatu Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin memfailkan saman fitnah sebanyak RM10 juta terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas dakwaan memfitnahnya dalam satu sidang media di Lobi Parlimen dua bulan lepas.
  • PUTRAJAYA - ahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membatalkan saman fitnah difailkan terhadap mereka oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.