PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dikemukakan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh berhubung saman fitnah mereka terhadap Nurul Izzah Anwar dan PKR berkaitan kenyataan pembelian lapan unit hartanah di KL Eco City.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit.

Panel itu juga memutuskan hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan yang memerlukan mahkamah rayuan untuk campur tangan.

“Kami mengesahkan dapatan fakta oleh hakim perbicaraan (Mahkamah Tinggi). Rayuan ini ditolak dengan kos  RM50,000,” katanya Hakim Abang Iskandar yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid dan Hakim  Datuk Mary Lim Thiam Suan.

NFCorp dan Mohamad Salleh merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Mac,  2016, yang menolak saman mereka terhadap Nurul Izzah dan PKR.

Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan kenyataan dibuat Nurul Izzah, selaku defendan, tidak memfitnah Mohamad Salleh.

Hakim berkata, kenyataan itu apabila dibaca secara menyeluruh tidak bersifat memfitnah Mohamad Salleh kerana kenyataan media dibuat Nurul Izzah adalah dalam kapasitinya sebagai ahli Parlimen (MP) Lembah Pantai.

Hakim juga berkata kenyataan itu ditujukan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil iaitu bekas MP Lembah Pantai yang juga isteri Mohamad Salleh, dan mana-mana orang yang berfikiran waras akan menimbangkan artikel itu sebagai menggesa akauntabiliti di pihak Shahrizat berhubung kenyataan MP Pandan Mohd Rafizi Ramli berhubung perkara sama.

Pada 24 Disember 2013, Mohamad Salleh memfailkan saman terhadap Nurul Izzah dan Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Saifuddin Nasution atas dakwaan memfitnahnya dalam komen Nurul Izzah berhubung pendedahan oleh Mohd Rafizi, yang ketika itu pengarah strategi PKR, mendakwa Mohamad Salleh telah melakukan penyelewengan dana syarikat itu.

Mohd Rafizif didakwa berkata plaintif telah membeli lapan unit hartanah di KL Eco City menggunakan dana NFCorp.

Plaintif mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan memfitnah itu dalam siaran Malaysiakini TV pada 7 Mac, 2012.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili NFCorp dan Mohamad Salleh manakala peguam Razlan Hadri Zulkifli dan peguam Joshua Kevin mewakili Nurul Izzah dan Saifuddin. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEGAMAT - Tindakan polis menyoal siasat isteri bekas perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali berkaitan penyertaan beliau dalam perhimpunan ‘Wanita Bantah Politik Toksik’ di Kuala Lumpur, September lalu, disifatkan siasatan terpilih dan tidak adil.
  • KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah difailkan Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terhadap Ridwan Abu Samah selesai, selepas bekas Ketua Pendaftar Bahagian Masjid Tanah, Melaka di bawah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap tindakan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertemu dengan anak perempuan kepada Jamalul Kiram lll iaitu Jacel Kiram merupakan penderhakaan kepada negara.
  • KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan perbuatan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berjumpa Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III, adalah satu pengkhianatan kerana wanita itu dianggap musuh negara.
  • PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee supaya membayar ganti rugi RM600,000 kepada bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh kerana fitnah berhubung tragedi ‘Double Six’.