KEJAYAAN penganjuran program World #QuranHour untuk edisi ketiga pada 7 Jun lalu adalah hasil kerjasama secara sinergi di setiap peringkat termasuklah penyelaras di setiap negeri.

Tidak terkecuali Penyelaras Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah, 59, yang sejak awal mengatur pelbagai aktiviti dan pertemuan bertujuan mempromosikan program itu bagi menarik lebih ramai penyertaan.

Ternyata usaha tidak kenal erti lelah dilakukan bekas penolong pengarah di sebuah agensi kerajaan ini memberi manfaat tersendiri apabila Perak menjadi negeri paling banyak lokasi iaitu 1,256 hotsport berbanding negeri lain pada penganjuran kali ini.

Ikuti wawancara wartawan Normawati Adnan bersama Noor Mazlina  atau lebih mesra disapa Kak Lily mengenai pembabitannya dalam Rumah Ngaji hingga terlibat secara langsung dalam penganjuran #QuranHour.

Noor Mazlina bersama suami, Mohd Kamil.

Bagaimanakah permulaan penglibatan Hajah dalam Rumah Ngaji?

Ini adalah tahun keempat saya bergiat aktif dalam Rumah Ngaji. Niat saya tiada yang lain hanyalah untuk mencari reda Allah, ruang ini juga saya gunakan untuk menyambung perjuangan Baginda Nabi Muhammad Solallahu ‘Alaihi Wasallam dalam usaha dakwah mengangkat martabat al- Quran dan sunnah teragung.

Saya memilih untuk bersara pilihan pada ketika usia 50 tahun dan dengan sedikit graduiti serta simpanan saya dan suami,  Mohd Kamil Abu Hanipah kami memulakan pembinaan sebuah bangunan sedikit demi sedikit di atas tanah yang dihibahkan oleh Allahyarham bapa saya. Pada asalnya saya ingin membuka sebuah pusat pengajian supaya diri saya, suami, keluarga dan  masyarakat sekeliling mendapat ilmu. Bangunan yang dinamakan Pusat Pengajian Aish Karimah ini siap pada 2013, tetapi ketika itu saya masih belum mulakan pengajian.

Keberadaan saya dalam sebuah program di Shah Alam pada Disember 2014 menjadi titik tolak kepada penglibatan saya sehingga kini. Saya mendapat perkhabaran bahawa Warisan Ummah Ikhlas Foundation bersama Kumpulan Media Karangkraf berhasrat untuk mewujudkan 3,000 Rumah Ngaji di seluruh negara. Saya yang belum memulakan apa-apa pengajian terpanggil menjadi orang pertama menyahut program Rumah Ngaji ini diadakan di Pusat Pengajian Aish Karimah. Alhamdulillah semuanya telah dimudahkan dan ternyata Allah membuka ruang untuk saya dan suami terlibat secara langsung dalam Rumah Ngaji ini.

Saya dan suami memegang teguh kepada prinsip bahawa, hanya dengan ilmu diri dan masyarakat akan berubah. Kami juga amat yakin dengan janji Allah: Barangsiapa yang menolong agama Allah pasti pertolongan Allah sampai kepada kamu:  Surah As Saff Ayat 10 hingga 12 ini benar-benar  menguatkan keyakinan saya dan suami.

Aş-Şaf:10 - Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

Aş-Şaf:11 - Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Aş-Şaf:12 - (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “ Adn “. Itulah kemenangan yang besar.

Rumah Ngaji Aish Karimah Kuala Kangsar antara yang pertama diwujudkan di Perak.

Apa manfaat yang telah Hajah lihat sepanjang pelaksanaan program Rumah Ngaji?

Pengoperasian Rumah Ngaji yang memberi pengajian al-Quran secara percuma kepada masyarakat ini benar-benar satu konsep yang menepati keperluan masyarakat sekarang. Orang dewasa tidak perlu malu untuk datang mengaji al-Quran, semua akan bermula dari asas Alif Ba Ta, mula dengan belajar mengenal huruf, mahraj dan sifat huruf.

Teknik yang digunakan dikebanyakkan Rumah Ngaji di Negeri Perak adalah teknik Al Badar yang diasaskan oleh Al Fadhil Ustaz Shamsul. Ramai pada awalnya takut dan tidak reti mengaji al-Quran, kini sudah pun pandai dan menghatam al Quran, menariknya mereka bukan hanya sekadar membaca, tetapi faham dan amalkan al-Quran. Sehingga hari ini,  sembilan batch telah tamat, Insya-ALLAH selepas hari raya ini, kami di Rumah Ngaji Aish Karimah Kuala Kangsar akan memulakan kumpulan baru. Setakat ini, di Perak sahaja telah wujud 60 Rumah Ngaji.

Apakah impak Rumah Ngaji yang dapat dilihat sekarang kepada umat Islam terutama generasi muda?

Rumah Ngaji membawa masyarakat kembali kepada al Quran. Sama ada kita sedar atau tidak, Rumah Ngaji telahpun menjadi entiti yang membantu pihak kerajaan dalam memastikan masyarakat Islam Malaysia sebagai umat yang celik al-Quran; dari peringkat asas hingga tajwid, dari membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran. Rumah Ngaji dapat membantu mengurangkan kadar buta al-Quran.

Rumah Ngaji ini ibarat pusat penyebar ke arah kegiatan masyarakat untuk celik dan mengenal al-Quran. Ia berfungsi sebagai menjadikan masyarakat sebagai generasi terbaik dalam memahami al-Quran.

Selain itu, impaknya telah memberi peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya orang tidak berkemampuan mempelajari asas-asas ilmu agama yang mana pengajian diberi secara percuma.

Noor Mazlina ketika mengadakan kunjung hormat kepada Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu bagi mempromosikan program World #QuranHour.

Apa harapan Puan untuk memperkasakan lagi peranan dan fungsi Rumah Ngaji?

Harapan saya agar setiap tempat dan di mana jua di permukaan bumi ini ada Rumah Ngaji sebagai benteng agama Allah dan pusat ke arah kefahaman dan bijak pandai mengenali al-Quran.

Rumah Ngaji boleh diperkasakan dengan langkah menyediakan guru agama serta pakar yang bertauliah, dilengkapi dengan sumber seperti kitab muktabar yang digunakan dalam pengajiannya. Melaksanakan pengajian yang tidak terhad kepada ilmu-ilmu fardu ain dan kifayah secara teori sahaja, malah memperluaskan kepada amali contohnya pengurusan jenazah, sembelihan dan lain-lain.

Saya juga suka membayangkan sekiranya Rumah Ngaji ini dapat dijadikan institusi tahfiz berkualiti dan profesional. Contoh seperti Rumah Ngaji Aish Karimah yang telah dikembangkan kepada Tahfiz As Sharif, ada tahfiz dan ada Rumah Ngaji.

Saya juga berharap agar modul kurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid yang dilancarkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dapat diperluaskan implementasi di Rumah Ngaji. Ini satu pendekatan yang sangat relevan agar pengajian agama kepada awam dapat dilaksanakan dengan kaedah lebih sistematik.

Untuk memastikan program #QuranHour terus dapat menarik penyertaan peserta baru di seluruh dunia, kita perlu menyasarkan semua lapisan masyarakat menyertai program ini. Juga pemerintah dan rakyat semuanya duduk bersama di setiap negeri untuk memuliakan dan menjunjung tinggi keagungan al-Quran.

INFO

Nama: Noor Mazlina Noor Shah

Umur: 59 tahun

Asal: Kuala Kangsar

Jawatan NGO: Wakil Rumah Ngaji Negeri Perak.

Latar Akademik: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan)

Jawatan: Bekas penolong pengarah di sebuah agensi kerajaan