KOLEJ Antarabangsa Yayasan Melaka (ICYM) sudah bertapak selama 20 tahun dalam industri pendidikan di negara ini dan berjaya melahirkan lebih 20,000 graduan.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian Selangor, NOR AZIHAN MD GHAZALI dan jurufoto ROSLI TALIB bersama Ketua Eksekutif ICYM, Datuk Saroni Judi bersempena Majlis Konvokesyen Ke-15 kolej terbabit yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Boleh ceritakan  latar belakang ICYM?

ICYM merupakan sebuah pusat pengajian tinggi di bawah Kerajaan Melaka yang menawarkan pelbagai program pengajian terkini. Bukan saja peringkat Ijazah, malah diploma, sijil dan kursus-kursus profesional berkualiti. Kampus Induknya terletak di Bukit Sebukor, Melaka

ICYM dirasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1997 ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran.

Apakah program yang ada di ICYM?

ICYM menawarkan lebih 30 program menerusi Sekolah Teknologi Media dan Seni (SMART), Sekolah Pengurusan Komputer dan Kejuruteraan (SCET), Sekolah Pengurusan Perniagaan (SBM), Sekolah Pengurusan Hotel & Pelancongan (SHTM) dan Sekolah Sains Sosial (SSS). Program kerjasama itu melibatkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UniKL dan terbaru bersama Institut Islam Al-Fatih Syria.

Aeronatic Development Center (ADC) pula menawarkan program profesional dan berkemahiran tinggi dalam bidang  Aeronautik dan Aviation.

Kelebihan kita,  mendapat pengiktirafan daripada dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi bagi program akademik dan Kementerian Sumber Manusia bagi penawaran program-program Sijil Kemahiran Malaysia seperti Pelukis Pelan, Juruteknik Elektrik dan Mekanik Kenderaan Motor.

Setakat mana pencapaian ICYM sepanjang 2017?

Dari segi pencapaian akademik, kita amat berbangga dengan pencapaian cemerlang enam graduan Program Kerjasama UTM-KAYM yang telah menerima anugerah medal dalam majlis konvokesyen UTM baru-baru ini. ICYM kini menawarkan empat program ijazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu sarjana muda pengurusan (pemasaran), sarjana muda sains (pembangunan sumber manusia), sarjana muda sains komputer (perisian grafik & perisian) dan sarjana muda sains komputer (rangkaian keselamatan komputer).

Pengalaman menawarkan program-program kerjasama diploma UTM sejak tahun 1997 meyakinkan UTM bahawa ICYM mampu menyediakan program berkualiti setanding dengan IPT lain. Ia merupakan hala tuju terutama bagi pelajar lepasan diploma UTM-ICYM untuk melanjutkan di pengajian.

Kita juga menawarkan program sarjana muda secara kerjasama dengan Institut Islam Al-Fatih Syria dengan menawarkan sarjana muda sastera dalam Bahasa Arab dan sarjana muda sastera dalam perundangan Islam. Program sarjana muda sastera dalam Bahasa Arab menyediakan membolehkan pelajar yang menyertai program ini bekerja sebagai Guru J-Qaf di sekolah-sekolah kerajaan, guru Bahasa Arab di sekolah-sekolah swasta, tutor Bahasa Arab di IPTA / IPTS,  penulis, editor, penterjemah buku, pengacara, penyampai radio, penterjemah sarikata, pemandu pelancong/ mutawif  dan juga meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Graduan sarjana muda sastera dalam perundangan Islam boleh bekerja sebagai penasihat undang-undang di jabatan kerajaan atau syarikat-syarikat swasta, pegawai syariah, pegawai kehakiman dan perundangan, penasihat dan perunding undang-undang Syariah. Program ini dijangka bermula pada tahun depan.

Bagaimana peranan dalam menuju TN50?

Saya ingin memetik kata-kata Perdana Menteri bahawa Pembangunan Modal Insan adalah teras yang disifatkan sebagai ‘tiang seri’ kepada kejayaan negara dan Transformasi Nasional TN50. Bagi mencapai pembangunan modal insan secara holistik untuk perkembangan ekonomi mampan di negara ini, kita perlu memastikan seramai mungkin rakyat mempunyai tahap pendidikan dan kemahiran tinggi bagi membolehkan mereka memenuhi kehendak industri dan sektor pekerjaan di negara ini.

Modal insan perlu diperkasakan ke tahap lebih tinggi, supaya setanding dengan negara-negara maju  lain. Sasaran sekurang-kurangnya mencapai 45 peratus pekerja mahir menjelang tahun 2030, menghampiri negara maju seperti Switzerland iaitu  sekitar 50 peratus. Negara memerlukan modal insan bertaraf dunia berpengetahuan, berkemahiran tinggi, fleksibel,  kreatif, serta memiliki etika kerja positif dan nilai-nilai rohaniah.

Kerana itu, ICYM mengorak langkah mempelopori pelbagai bidang selari dengan keperluan industri bagi menyemarak Transformasi Negara Atau TN50. Ini pasti dapat menyumbang ke arah memartabat pendidikan akademik dan latihan kemahiran sekali gus membuka peluang rakyat di seluruh malaysia  mencapai cita-cita yang diimpikan.

Bagaimanakah pula ICYM dapat membantu pelajar lepasan SPM ?

Kejayaan menjejakkan kaki ke menara gading dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kerjaya sememangnya menjadi impian setiap pelajar lepasan SPM. Bagaimanapun pemilihan tempat yang tepat bagi meneruskan pengajian merupakan satu keputusan sangat penting bagi mengubah kehidupan pada masa hadapan. Banyak kelebihan yang boleh dimiliki pelajar jika memilih melanjutkan pengajian di ICYM.

Program-program yang ditawarkan mendapat kelulusan dan pengiktirafan Kementerian Pengajian Tinggi serta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Kita juga mendapat pengiktirafan institusi berstatus KoridorRaya Multimedia (MSC) yang memberi impak positif terhadap kursus kendalian ICYM.

Di samping itu, ia turut mendapat penganugerahan Sijil MS ISO 9001:2008 dan juga Accreditation Service for International College (ASIC) dari United Kingdom, satu pengiktirafan dan perakuan terhadap mutu dan kualiti pendidikan.

Dari aspek nilai-tambah pula, pelajar yang mengikuti diploma perakaunan akan mendapat dua sijil pengiktirafan dari KAYM dan juga The London Chamber of Commerce and Industry (LCCI).

Bagaimana hala tuju lebih 20,000 pelajar yang sudah menamatkan pengajian di ICYM?

Statistik kira-kira 95 peratus graduan telah berjaya menempatkan diri di syarikat ternama seperti Les Copaque, Lensa Film, Animasi, Vision Animation, bidang penyiaran di RTM, TV3, Astro, TV Al Hijrah dan juga menjadi usahawan berjaya.

Sebagai contoh, Muhammad Afiq Anuar pelajar Diploma Teknologi Media (Anugerah Media Johor –wartawan terbaik 2016 & 2017) dan Mohd Asyraf Abd Rahman pelajar berkelulusan Diploma Teknologi Animasi (Ketua Animator Upin Ipin).

Semua pelajar yang tamat pengajian di ICYM secara automatik akan menjadi Alumni ICYM.

Apa perancangan ICYM pada 2018 pula?

ICYM sedang membangunkan beberapa program diploma kemahiran Malaysia automotif yang dilaksanakan pada awal tahun, sijil kemahiran Malaysia operasi penyelenggaraan pesawat, sijil kemahiran Malaysia pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak serta kursus jangka pendek dan sepenuh masa seperti bidang rel dan lokomotif.

Mengambil kira keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang lokomotif pada masa penubuhkan Institute Rail Safety and Technology atau i-Rel ia membawa satu pendekatan baru dalam industri latihan berteraskan kemahiran dan bakal menjanjikan peluang latihan serta laluan kerjaya dalam bidang teknologi lokomotif.

I-Rel juga bakal menawarkan pelbagai persijilan antaranya persijilan profesional  antarabangsa seperti Erata :Certification In Rail Safety  (Australia), Logic Control Program (Germany) dan Welding (ASNT/NDT) (Amerika Syarikat), persijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) juga akan dilaksanakan khususnya dalam bidang kejuruteraan rel.