KELIBATNYA di Dewan Parlimen sering menarik perhatian ramai, seorang yang cukup vokal, lantang bersuara, sehinggalah dilabel seorang 'budak nakal' di Parlimen.

Tidak melatah digelar sebagai seorang budak nakal di Parlimen, Ahli Parlimen Bukit Jelutong dari DAP, RSN RAYER berikrar akan terus vokal kerana baginya 'itu cara beliau'.

Ikuti wawancara Sinar Harian bersama Rayer.

Bagaimana pengalaman sebagai ahli Parlimen yang baharu?

Mencabar kerana walaupun PH sudah menjadi kerajaan rakyat sedang menanti dan melihat.

Sama ada PH boleh melaksanakan janji-janji mereka, dan ini menjadi cabaran yang penting dan perlu diharungi oleh PH.

Kita mesti pastikan janji ditepati, sekiranya tidak, nasib kita mungkin sama seperti BN.

Suasana yang baharu, dan saya rasa ini merupakan satu suasana yang baik malahan senang kita hendak berjumpa dengan mana-mana menteri.

Tiada sebarang protokol dan saya rasa kita perlu memastikan bahawa kemudahan ini senantiasa dipelihara kerana kita perlu memastikan bahawa Parlimen adalah tempat rakyat boleh datang berjumpa dengan pemimpin mereka , bukan sekadar lihat pemimpin mereka lima tahun sekali.

Kehadiran YB di Parlimen sering berlaku sensasi, YB tidak kisah dianggap 'budak nakal' Parlimen?

Kalau kita perlu laksanakan tugas bagi tujuan rakyat tak apalah yang mereka mahu tafsirkan.

Tapi saya yakin bahawa isu yang dibahaskan telah pun diberi perhatian, sebagai contoh minggu lalu yang saya bangkitkan dalam Dewan Parlimen berkenaan balai polis di Timur Laut, Pulau Pinang. Saya difahamkan oleh polis dalam masa dua tiga hari kerosakan itu sudah dibaiki.

Itu merupakan cara saya berbahas kalau dilihat saya di Dun Pulau Pinang dahulu pun begitu, dan tiada sebab tertentu, itu merupakan gaya dan cara saya berbahasa di Dewan.

Memandangkan topik perbahasan merupakan topik yang hangat, memang kita bahas secara ikhlas , memberi penekanan kepada perbahasan, kadang kala saya tidak diganggu saya tidak akan respons balik, itu adalah cara saya berbahas.

Adakah sikap YB yang vokal ini baik untuk kerajaan?

Saya rasa ini patut digalakkan kerana kalau kita lihat penyokong kerajaan dahulu (BN) begitu risau nak bangkitkan perkara yang mereka rasakan menggugat kedudukan kerajaan ataupun bercanggah dengan polisi atau dasar kerajaan. Bagi saya itu tidak menjadi keutamaan, pengundi saya adalah yang lebih penting seperti yang bangkitkan isu di Jelutung.

Bagaimana YB melihat pelaksanaan manifesto PH menjelang 100 hari ini, dan apa harapan YB?

Bagi saya sebagai seorang penyokong kerajaan, saya mahu pastikan bahawa semua janji PH ditunaikan dengan seberapa segera yang boleh, dan itu adalah komitmen saya.

Dan saya akan bangkitkan isu ini dalam Dewan ini dalam masa yang akan tiba sekiranya ia tidak ditunaikan, kerana ini janji manifesto PH dan rakyat sedang melihat kalau kita tidak laksanakannya maka tidak ada perbezaan antara PH dan BN.

Harapan saya, pertamanya adalah mahu mengeratkan hubungan antara kaum , saya rasa itu merupakan cabaran utama, kekuatan Malaysia dibina oleh rakyat yang pelbagai bangsa , dan kekuatan itu harus disemai, kerana banyak yang BN 'rosakkan'.