PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) menyifatkan kenyataan dikeluarkan Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) mengenai isu tunggakan gaji pemain Singa Utara seolah-olah mempunyai unsur sabotaj dalam usaha persatuan meningkatkan kembali kegemilangan pasukan.

Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad berkata, isu membabitkan tunggakan gaji bagi musim 2018 sudah diselesaikan dengan mekanisma yang sudah dipersetujui dengan semua pemain.

“Bagi pemain pada musim 2016 dan 2017 mahupun sebelumnya, mereka tidak tertakluk dengan pengurusan baharu namun atas dasar tanggungjawab, saya cuba membantu mereka menyelesaikan masalah ini.

“Jadi kami sedang mengumpul dokumen yang berkaitan dan kontrak mengenai pemain terdahulu sebelum kami boleh mengambil apa apa tindakan. Berilah kami ruang dan masa kerana kami sememangnya tidak mahu lepas tangan terhadap isu ini.

“Cuma apabila kenyataan dikeluarkan PFAM semalam, saya rasa kecewa kerana bukan hanya Perlis berdepan masalah sama, ada lagi pasukan lain turut mengalami masalah ini tetapi hanya Perlis sahaja yang ditekankan dalam kenyataan itu.

“Sebagai Presiden PFA, saya beranggapan ini seolah olah ada unsur sabotaj yang cuba menidakkan hak Perlis untuk beraksi dalam Liga Perdana. Apapun, ia boleh diselesaikan dalam suasana yang harmoni dan secara profesional,” katanya.

Mengenai kedudukan kewangan pasukan, Ahmad Amizal menegaskan mereka mempunyai belanjawan yang mencukupi untuk semua pasukan di bawah pengurusan PFA sehinggalah berakhirnya musim 2019.

“Kami tidak memiliki dana yang besar tetapi saya memberi jaminan bahawa pasukan ini akan terus beraksi sehingga penghujung musim 2019. Kami bukan pasukan yang ada bajet selama tiga bulan dan kemudiannya baru mencari dana tambahan.

“PFA akan cuba menjadikan Perlis sebagai sebuah syarikat jadi sudah tentu akan ada keuntungan dan kerugian, Apapun, bagi sepanjang musim 2019 juga, kita akan mencari jalan untuk menjana pendapatan supaya sekurang-kurangnya kita mendapatkan kembali modal yang sudah dikeluarkan,” katanya yang memberi bayangan pasukan itu hanya akan berbelanja kurang daripada RM10 juta.