PERSATUAN  Bola Sepak Kelantan (Kafa) masih meneliti calon yang sesuai mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih The Red Warriors (TRW)  ditinggalkan pemangku jurulatih musim lalu Yusri Che Lah.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khas berkata, pada masa ini pihaknya menimbang beberapa jurulatih tempatan untuk mengisi jawatan tersebut.

"Kita berhasrat  mendapatkan seorang jurulatih tempatan yang dilihat mampu membantu pasukan, namun dia masih mempunyai kontrak bersama pasukannya.

"Dari aspek pemilihan jurulatih perlu diteliti dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan kerugian kepada kami," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kafa sebelum terpaksa melupakan hasrat untuk mengekalkan khidmat Yusri bagi membimbing pasukan TRW selepas jurulatih kelahiran Perlis itu memilih untuk bersama Kuala Lumpur musim depan.

Bibi Ramjani berkata, pada masa sekarang tanggungjawab membimbing skuad bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan diserahkan kepada pengarah teknikal pasukan itu Jorg Peter Steinebrunner.

"Dia sebelum ini diberikan tanggungjawab  membantu jurulatih, namun dalam situasi ketika ini kita harus memberikan kepercayaan kepadanya untuk melakukan persiapan  berikutan kita hanya mempunyai masa sebulan lagi sebelum sepak mula sebenar.

"Kami harap masalah ini dapat diatasi dengan secepat mungkin bagi mengelakkan perkara ini  mengganggu persiapan pasukan," katanya.

Katanya,  pihaknya juga merancang  melakukan beberapa perlawanan persahabatan bagi menguji kemampuan skuad terutama pemain  muda.

"Walaupun 80 peratus  pemain dikekalkan, perlawanan itu penting  kepada kami untuk melihat kemampuan dan kelemahan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Premier musim depan," katanya. - Bernama