BERMULA sebagai perkampungan nelayan kecil kini menjadi ibu kota Kesultanan Johor, Johor Bahru ternyata telah membina warisan yang kukuh. Penampilan bandar raya moden ini disulami dengan adat lama, yang digambarkan dengan indah oleh puisi berikut:

Jejak Harmoni

Menelusuri laluan seindah warna vista

Khazanah silam yang mengungkap bicara dan cerita

Menghargai, memperingati, penuh kegemilangan

Setiap pencapaian digapai dengan selaut harmoni

Diresapi khazanah budaya bersendi tradisi

Bersemangat, bersatu, bersama menghargai

Identiti kita umpama bayang-bayang yang sentiasa ada

Menginjak ke hadapan bersandarkan warisan

Menghormati, mengabadi, membina kesedaran

Puisi ini sesungguhnya menggambarkan Ibrahim International Business District (Pusat Perniagaan Antarabangsa Ibrahim - IIBD) yang tersergam di atas tanah warta seluas 250 ekar (100 hektar) di dalam bandar raya Johor Bahru, untuk memperingati tonggak Warisan IIBD.

Arca Warisan IIBD

Arca Warisan, ukiran seni setinggi 22 kaki yang terletak di Legaran Segget, bersebelahan gerbang Jalan Warisan Tan Hiok Nee, berdiri megah meraikan kepelbagaian warisan Johor, yang terserlah melalui unsur reka bentuk tradisional tempatan pada ukiran ‘Urban Tree’nya.

Melambangkan tiga kumpulan etnik utama Johor, arca ini diperbuat daripada tiga dahan logam yang membentuk teduhan berdaun lebar ke atas dan ke luar, mendedahkan potongan corak yang tersebar pada permukaannya. ‘Urban Tree Heritage’ ini adalah satu bentuk arca interaktif melalui penghasilan bayang-bayang yang menjadi simbolik kepada perpaduan dan keindahan warisan budaya yang perlu dipelihara dan diraikan.

Menyusuri Tapak Warisan IIBD

Di IIBD, terdapat pelbagai tapak warisan lain telah dikenal pasti sebagai permata yang harus dipelihara. Tapak-tapak ini menyingkap sejarah warisan yang membentuk identiti Bangsa Johor sebagai peringatan fizikal peninggalan nenek-moyang kita.

Ramai pengunjung menyusuri Jalan Tan Hiok Nee hingga ke Jalan Segget untuk mengunjungi gerai-gerai Bazaar Karat yang membarisi kedua-dua jalan ini. Nikmati pelbagai sajian yang memenuhi segala cita rasa, sambil dihiburkan oleh dendangan lagu penyanyi jalanan dan celoteh peniaga yang memeriahkan suasana pasar.

Daripada makanan lazat kepada kereta sorong bayi, sarung telefon lain daripada yang lain dan juga ubat penjagaan kulit buatan sendiri, para peniaga di Bazaar Karat memang ada menawarkan sesuatu untuk semua.

Rumah ibadat berbilang agama

Menempatkan rumah ibadat penduduk dari berbilang agama, Persiaran Muafakat (Streets of Harmony) memperlihatkan perpaduan dan keharmonian penduduk berbilang budaya dan agama, bukan sekadar satu aspirasi tetapi sebenarnya sudah menjadi realiti.

Enam rumah ibadat berbilang agama di Jalan Gereja, Jalan Trus, Jalan Dhoby dan Jalan Duke, membuktikan keunikan identiti Bangsa Johor yang bermula seawal abad ke-19 lagi. Antaranya tokong Gu Miao Johor; gereja tertua di Johor - Immaculate Conception yang mengetengahkan seni bina Kolonial British 1920-an; dan Kuil Sri Raja Mariamman.

Bangunan warisan

Stesen Kereta Api Lama Johor Bahru, yang dulunya merupakan stesen kereta api antara bandar, masih menampilkan perwatakan ceria dengan warna-warna berbeza dan seni bina barat. Keterujaan mengembara masih boleh dirasai di stesen ini, yang mempunyai daya tarikannya tersendiri, walaupun tiada lagi kereta api yang singgah di sana.  

Akhir sekali, jauh daripada hiruk-pikuk kota, Bangunan Sultan Ibrahim tersergam megah dengan seni bina gabungan timur barat – mengadunkan unsur-unsur Melayu Johor, Islam dan Kolonial British. Walaupun pembinaan dihentikan buat seketika kerana peperangan yang tercetus pada tahun 1940, peristiwa tersebut tidak menghalangnya untuk menjadi salah satu bangunan pencakar langit terawal di Johor Bahru, lebih tinggi daripada bangunan yang dibina pada tahun 70an!

Pada hari ini, bangunan bersejarah ini merupakan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, namun peranannya sebagai mercu tanda warisan penting tidak akan ditelan zaman.