SAMA-SAMA Hotel KL International Airport, hotel mewah dan terulung di lapangan terbang antarabangasa di Malaysia meraikan sambutan Deepavali dengan lebih bermakna pada tahun ini apabila hotel tersebut turut menjadi tuan rumah bagi pasukan Shell Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2018.

Ruang legar lobi utama hotel dihiasai indah untuk meraikan Deepavali. Aturan lilin mengelilingi kraf berwarna-warni rangoli atau lebih dikenali sebagai “Kolam” menjadi tarikan utama bagi menyambut kedatangan pengunjung ke hotel.

Lobi utama disulami lebih istimewa dengan kibaran bendera bertema permotoran meraikan kedatangan setiap pasukan MotoGP.

“Menjadi kebanggaan sebagai rakyat Malaysia untuk kami mengetengahkan sambutan tradisi dan adat resam tanah air semasa acara antarabangasa berlangsung. Gandingan sambutan perayaan tempatan bersama acara terkemuka dunia dapat memberi peluang bagi semua kakitangan hotel, tampil sebagai duta kecil Malaysia,” kata Pemangku Pengurus Besar, Sundra Kulendra.

Bertempat di lokasi strategik berhampiran terminal utama lapangan terbang KLIA, Sama-Sama Hotel menjadi titik permulaan bagi pengunjung yang melawat Malaysia.

Peramugari, Yulia, 25, dari Rusia, menganggap dekorasi yang diketengahkan memberi ruang informasi berguna kepada pengunjung.

Pengunjung dari Indonesia, Sherly, 23, berkata hotel sebagai sebuah organisasi adalah cerminan kepada adat dan budaya sesebuah negara.

Seorang pengunjung dari Itali, Julia, 30, yang telah berkhidmat lebih sedekad lama dalam industri pelancongan dan kebudayaan, berkata adalah sebuah penghormatan bagi sesebuah hotel untuk menjadi tuan rumah khasnya bagi acara sukan yang ikonik seperti MotoGP.

Bersempena acara MotoGP, Sama-Sama Hotel turut mengadakan pertunjukan kebudayaan, gamelan Melayu di lobi utama hotel sebagai pertunjukkan sampingan.

Terdiri daripada lima pemain gamelan, pengunjung hotel disajikan dengan alunan melodi daripada variasi alat muzik tradisional gamelan sepanjang hari minggu.