BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan penutupan dua buah sekolah berasrama penuh di Kajang dan Gombak akibat penyakit beguk. Menurut laporan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, kes beguk meningkat berbanding tahun lepas. Daripada 75 kluster beguk yang dilaporkan, 59 kluster terjadi di sekolah-sekolah.

Beguk atau mumps adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus mumps. Ia kerap berlaku dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja. Beguk jarang berlaku dalam kalangan bayi kurang satu tahun, kerana mereka dilindungi oleh antibodi yang diperoleh daripada ibu semasa di dalam kandungan.

Virus mumps masuk ke dalam badan melalui mulut dan menyerang kelenjar air liur. Virus ini merebak melalui titisan daripada mulut dan hidung. Antara situasi yang memudahkan penyebaran virus ialah bersin, batuk dan berkongsi peralatan makan seperti sudu dan garpu. Apabila seseorang dijangkiti virus mumps, gejala akan berlaku hanya selepas selesai tempoh eraman iaitu kira-kira dua hingga empat minggu.

Hanya dua pertiga individu yang dijangkiti mengalami gejala, manakalanya yang selebihnya tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda mereka dijangkiti. Gejala jangkitan bermula dengan demam, kurang selera makan, keletihan, sakit kepala dan disusuli dengan sakit di bahagian telinga. Kelenjar air liur akan mula membengkak dan mencapai saiz maksimum selepas 3 hari. Ketika ini, pesakit akan berasa sakit semasa bercakap dan mengunyah.

Sakit akan menjadi lebih teruk apabila makan atau minum bahan berasaskan citrus seperti buah limau. Kelenjar air liur kembali ke saiz asal dalam masa seminggu. Penyakit ini pada amnya tidak berbahaya dan pulih secara semula jadi. Jarang sekali, jangkitan menyebabkan radang pada selaput otak dan testis.  

Tiada rawatan khusus untuk penyakit beguk. Biasanya, pesakit akan diberikan ubat demam dan ubat penahan sakit. Kawasan yang bengkak boleh diletakkan pek panas atau pek ais untuk meredakan kesakitan.

Untuk mencegah penyebaran penyakit, pesakit perlu diasingkan sehingga 9 hari selepas hari pertama gejala. Walau bagaimanapun, pesakit tersebut sudah mula menyebarkan virus sekurang-sekurangnya enam hari sebelum mangsa jatuh sakit.

Etika batuk dan bersin perlu diamalkan dengan cara menutup mulut dengan tisu atau lengan baju, bukan dengan tangan. Sudah menjadi amalan masyarakat kita menutup mulut dengan tangan apabila batuk. Tanpa kita sedari, kuman yang berada di tangan disebarkan kepada orang lain apabila kita bersalam atau memegang barang-barang yang juga akan dipegang oleh orang lain.

Kita juga perlu mengajar anak-anak untuk sentiasa membasuh tangan dengan cara yang betul terutamanya selepas batuk dan bersin. Elakkan berkongsi makanan, minuman, sudu dan garpu dengan individu yang tidak sihat.

Beguk juga boleh dicegah dengan vaksin. Bermula tahun 2002, negara kita memberikan vaksin mumps kepada bayi berumur 1 tahun. Bermula tahun 2016, vaksin mumps diberikan sebanyak dua kali iaitu semasa 9 dan 12 bulan. Kajian menunjukkan bahawa vaksin berupaya memberi perlindungan sehingga 80 hingga 90%.

Ini bermakna, walaupun anak anda telah divaksin, ada juga kemungkinan untuk mereka mendapat jangkitan terutamanya apabila berlaku wabak di tempat-tempat tertutup seperti asrama. Walau bagaimanapun, individu yang telah divaksin akan mengalami gejala yang lebih ringan berbanding individu yang tidak pernah divaksin.

* Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed Pakar Mikrobiologi Klinikal Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia