Baru-baru ini pelakon versatile Jalil Hamid meluahkan rasa kesal dan kecewanya dengan kadar bayaran diterima terlalu sedikit hingga mengatakan penat dan sia-sia mengumpul antara 7-8 Anugerah Pelakon Terbaik dan Popular selama hampir 40 tahun. Bukan sahaja pelakon ini, pelakon veteran lain juga semakin ramai menerima nasib sama. Mengapa? Adakah pengalaman dan keboleh mereka dianggap murah? Adakah kerana stesen TV?

Pelakon Norlia Ghani merasa terkilan apabila industri hiburan tanah air seperti sudah melupakan bakatnya dan mengakui hampir setengah tahun tidak mendapat tawaran berlakon daripada mana-mana produksi.

Norlia berkata ramai artis veteran masih mempunyai kudrat dan mampu memegang pelbagai watak namun diketepikan.

"Mama dah dekat setengah tahun tak ada 'job'. Kadang-kadang mama fikir mungkin tak ada rezeki dan mama tak dengki dengan artis lain yang banyak dapat 'job' kerana itu rezeki masing-masing walaupun asyik muka pelakon sama saja dalam TV.

"Cuma ramai orang tanya kenapa mama dah lama tak berlakon? Sebenarnya bukan  tak nak berlakon tapi kena faham 'job' lakonan ditawarkan syarikat produksi. Takkan mama nak minta dengan mereka pula?," katanya yang mula berlakon filem berjudul Kanchan Tirana pada 1969 selepas bakatnya dikesan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Selain muncul dalam beberapa filem popular antaranya Sikit Punya Gila, Panglima Badul dan Mami Jarum, wajah Norlia sememangnya tidak asing lagi dalam drama bersiri mahu pun telemovie di negara ini bahkan pernah merangkul gelaran Artis Komedi Wanita Popular ketika Anugerah Bintang Popular 2002 membuktikan Norlia mampu memegang pelbagai watak.

Dalam kerancakan industri ketika ini, pada usia 70 tahun, Norlia yakin mampu beraksi dalam drama mahupun telemovie, namun dia merasa pelik dengan tindakan syarikat produksi yang sentiasa mahu mengambil artis yang sama untuk drama atau telemovie mereka sehingga adakala drama pelakon berkenaan hampir serentak ditayangkan di semua stesen TV.

"Tindakan penerbit suka ambil artis yang sama antara penyebab artis lama seperti mama dan rakan-rakan lain dipinggirkan," katanya.

Pelakon wanita yang melonjak populariti menerusi drama terkenal Opah di RTM dengan watak Joyah ini berkata, dia bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk turun ke lokasi penggambaran sekiranya menerima tawaran daripada syarikat produksi.

"Sekarang mama tak ada job, jadi mama sedia terima apa sahaja tawaran. Mama bukan artis yang hidup mewah, ramai anggap artis mewah namun sebenarnya tidak, malah ramai hidup susah lebih-lebih lagi apabila usia senja," katanya yang kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) bersama seorang anaknya.

"Mama tak malu bagi tahu duduk rumah PPR. Dulu kita selalu berlakon kita mampu. Ramai lagi artis veteran duduk rumah PPR sampaikan orang ramai persoalkan kenapa artis duduk PPR?

"Tak salah dan tak hina pun duduk PPR daripada buang duit dengan sewa rumah RM1,000, baik duduk PPR janji ia selesa," katanya.

Ibu pelakon Rusdi Ramli setuju  syarikat TV berkuasa memilih artis untuk berlakon dalam drama atau telefilem mereka sehingga artis lama dipinggirkan demi menjaga 'rating'.