SEKURANG-kurangnya 50,000 peniaga Online di negara ini terdedah risiko jenayah siber atau scammer apabila mereka memuat naik beberapa jenis aplikasi  untuk memudahkan urusan bersama pelanggan dalam telefon pintar termasuk meletakkan nombor telefon mereka di laman sosial.

Kebarangkalian ini mungkin ada benarnya, apabila beberapa peniaga Online memberitahu mereka mula menerima panggilan atau mesej daripada scammer selepas memuat naik aplikasi transaksi bank dalam telefon pintar.

Misalnya seorang peniaga online pelbagai jenis kek bernama Dila ini memberitahu, dia  ditipu scammer hingga kerugian kira-kira RM1,300.

"Saya terima panggilan daripada seorang individu mendakwa dari sebuah syarikat telekomunikasi dengan menyebut nama penuh serta  nombor telefon saya dengan tepat. Dia beritahu, nombor saya terpilih untuk caburan bertuah memenangi tunai RM3,000 dengan syarat saya kena 'keluarkan' duit itu di mesin automatik (ATM) berdekatan.

"Sampai di ATM dan lepas masukkan kad ATM, pemanggil itu minta saya mendepositkan duit RM200  sebelum dia memasukkan RM3,000 itu. Lepas itu, dia suruh saya pindahkan RM200 itu ke satu akaun lain dan beritahu, dalam tempoh 10 saat, saya akan dapat hadiah itu tetapi ternyata tiada.

"Pemanggil itu kata, akaun saya problem dan dia minta saya depositkan lagi RM200 dan pindahkan ke akaunnya  untuk mendapatkan hadiah itu dan mengelakkan akaun bank saya kena beku (block) dan disenarai hitam. Saya risau dan ikut cakap dia sampailah total saya deposit RM1,300 ke akaun saya dan buat pindahan. Akhirnya saya sedar yang saya kena tipu," kata peniaga berusia 25 tahun ini.

Seorang lagi peniaga online pelbagai barangan bantal dikenali sebagai Jasmira pula menceritakan, baru-baru ini dia memuat naik satu aplikasi transaksi bank bagi memudahkan urusan bayaran penjualan serta pembelian  pelanggan dalam telefon pintar miliknya.

"Tidak lama kemudian saya terima mesej menerusi aplikasi Whatapps daripada nombor talian telefon bimbit tidak dikenali. Dalam mesej itu dia memberitahu namanya sebagai 'Hairul', telah tersalah  menghantar mesej kepada saya untuk membuat pembatalan pinjaman bank milik isterinya.

"Dia minta saya memberikan nombor TAC (Type Allocation Code) daripada penghantar mesej 68833 dikatakannya dimiliki saya gara-gara mesej itu tersalah hantar ke nombor telefon bimbit saya. Selepas baca mesej Whatapps dia, saya terus periksa mesej dalam SMS. Memang ada mesej menunjukkan dia akses ke akaun saya dan terdapat nama dia. Cubaan nak transfer duit dari akaun saya  ke akaun dia," katanya.

Menurutnya yang juga seorang guru, orang itu kemudian merayu supaya dia berikan nombor TAC untuk batalkan pinjaman bank berkenaan kerana jika tidak dibatalkan wang pinjaman itu akan masuk ke dalam akaunnya.

Peniaga barangan bantal itu berpandangan, peniaga Online terdedah risiko jenayah siber juga akibat nombor telefon mereka yang diletakkan di  Facebook (FB) dan Instagram bahkan ada peniaga membuat pautan Whatapps dan Facebook.

Berbeza modus operandi terhadap seorang  peniaga Online barangan wanita yang mahu dikenali sebagai  Maserah apabila dia menerima mesej daripada scammer mendakwa daripada sebuah bank memberitahu dia ada pinjaman tertunggak.

Dia yang juga memuat naik aplikasi  transaksi bank dalam telefon pintar terkejut dengan mesej itu kerana memang tidak pernah buat sebarang pinjaman di bank lalu abaikan mesej itu.

Peniaga Online lampin  pakai buang bayi dikenali sebagai Mohamad Saiful  pula menceritakan, dia nyaris dijerat scammer dari Iran selepas memaparkan nombor telefon dalam satu web  iklan terkenal. 

"Dia kata nak beli lampin pakai buang untuk anaknya di Johor tapi dia beritahu saya, dia menghubungi saya dari Iran. Dia minta nombor akaun bank saya dan saya mula curiga apabila dia meminta pula alamat emel saya. Saya syak dia scammer dan abaikannya," katanya.