SERAGAM  anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara uniform dijahit oleh warga Bangladesh di pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Berdasarkan temubual dengan tukang jahit, rata-rata  antara mereka mengaku boleh menjual mana-mana seragam penguat kuasa sekiranya ada pelanggan mahu membelinya.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib ketika diminta mengulas mengenai isu ini berkata, jika aktiviti itu berlaku sewenang-wenangnya dibimbangi ada pihak menyalahgunakan identiti penguat kuasa JPJ.

"Ia tidak seharusnya berlaku kerana dibimbangi seragam itu  dijual secara terbuka kepada umum.

"Uniform JPJ tidak dijual dan tidak boleh dijahit di kedai biasa kerana seragam tersebut ditempah khas di kilang yang sah," katanya.

Berdasarkan situasi kemungkinan kegiatan penjualan seragam itu boleh berlaku dan disalahgunakan, Nazli menasihati orang ramai supaya jangan terpedaya dengan penyamar.

 "Jika ditahan dan 'pegawai' tersebut meminta wang, jangan layan dan terpedaya.

"Selesaikan masalah secara betul mengikut undang-undang. Kalau dia kata nak saman, biarkan dia saman,"katanya memberikan nasihat.

Beliau turut memberitahu, sebarang operasi dilakukan JPJ hanya menggunakan kenderaan mempunyai logo  JPJ dan tidak sesekali  menggunakan kenderaan persendirian.

"Jika yang menyamar itu datang seorang diri atau tanpa guna kenderaan JPJ, maka orang awam perlu berasa curiga," katanya.