GEORGE TOWN - Polis telah menubuhkan satu pasukan khas  untuk menyiasat  kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.          

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pasukan itu ditubuhkan sehari selepas laporan polis dibuat oleh Felda pada 12 Disember lalu dan siasatan dijalankan menurut Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu berhubung penipuan dan pemalsuan dokumen.

“Selepas laporan diterima, kami membuka satu kertas siasatan serta menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kayuhan Basikal Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Polis Diraja Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan memanggil bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi membantu siasatan.

“Saya difahamkan beliau tiada di dalam negara ketika ini. Jadi, bila (beliau) dah balik polis akan ambil keterangan daripadanya,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan memanggil beberapa pihak lain untuk diambil keterangan.

"Selepas  selesai rakam percakapan, kita akan lihat mana arah tuju kes tersebut," katanya.

Felda dilaporkan berisiko kehilangan hak ke atas kawasan strategik yang dianggar bernilai RM270 juta di Jalan Semarak di Kuala Lumpur susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan pada 2015.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata Felda  bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah agensi itu termasuk membuat laporan polis pada 12 Disember lalu. -Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan lima individu termasuk dua wanita dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah di Jalan Nusa Bestari dekat Skudai, di sini, dua hari lalu.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kes empat kenderaan milik pegawai kanan kastam dan anggota keluarganya yang terbakar dalam kejadian di kuarters kerajaan di Presint 11 di sini minggu lalu mempunyai unsur jenayah.
  • SHAH ALAM - Polis sedang mengesan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai melepaskan satu das tembakan di tempat awam dalam kejadian di Jalan Telok Bunut, Banting awal pagi tadi.
  • KUALA LUMPUR - Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima kertas siasatan (IP) berhubung pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, di sini.
  • KUALA NERUS - Majlis Belia Felda Wilayah Terengganu hari ini membuat laporan polis berhubung isu pindah hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.