KELANTAN sememangnya mempunyai keunikan budaya, masyarakat dan alam sekitar yang tersendiri.

Jika menerokai Negeri Cik Siti Wan Kembang itu, pasti anda akan merasai kelainan.

Malah keindahan Air Terjun Jelawang yang terletak di Taman Negeri Gunung Setong di Dabong, ini dikatakan antara destinasi wajib buat para pendaki dan mereka yang mendambakan cabaran alam semulajadi.

Taman negeri tersebut juga tersenarai sebagai antara lima destinasi ekosistem terbaik di Malaysia.

Bagi yang belum mengenali Air Terjun Jelawang, mempunyai ketinggian 303 meter dari aras laut dan merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara.

Selain menjanjikan keindahan air terjun dan panorama yang mempersonakan, ia turut menjadi antara lokasi terbaik untuk menyaksikan hamparan bintang di waktu malam.

Atas alasan itu, Team Busut menyertai misi 3 hari 2 malam yang dianjurkan oleh Capcibo Hikers baru-baru ini.

Ia bagi merasai sendiri keunikan dan keindahan flora dan fauna yang sering menjadi siulan para pendaki di media sosial.

Bertolak ke Dabong

Tepat jam 10.00 malam, semua peserta telah berkumpul di LRT stesen Gombak seperti yang dijanjikan.

Seusai suai kenal kami diarahkan untuk menaiki bas bagi memulakan perjalanan pada malam itu.

Memandangkan perjalanan ke Dabong mengambil masa sekitar 7 ke 8 jam, rata-rata peserta mengunakan kesempatan itu untuk tidur dan merehatkan badan.

Ini kerana jadual kami agak padat pada keesokkan harinya.

Dabong merupakan sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 160 km ke barat Kota Bharu.

Pekan kecil ini terkenal dengan panggilan ‘alam kayangan’ kerana dikelilingi hutan tropika yang menghijau serta sesuai untuk aktiviti rekreasi khususnya mereka yang mencintai keindahan alam semulajadi.

Menerokai alam gua

Tepat jam 7.00 pagi, kami semua selamat tiba di kawasan rehat dan rawat (R&R) Jelawang.

Selesai bersarapan dan membersihkan badan kami di bawa ke Kompleks Gua Ikan yang terletak di Kampung Slow Pak Long kira-kira 95 kilometer dari Bandar Kuala Krai dan 7km dari Pekan Dabong.

Asal-usul nama Kompleks Gua Ikan ini diperoleh daripada batu yang kelihatan seperti ikan selain sejumlah ikan dikatakan turut menghuni gua tersebut.

Menurut mitos juga, gua tersebut pernah didiami Cik Siti Wan Kembang yang mula memerintah Kelantan pada tahun 1610.

Dalam usia 30 tahun, baginda dilantik sebagai pemerintah Kelantan menggantikan Sultan Hussin.

Baginda bersemayam di Gunung Dang Besar, Hulu Kelantan yang kemudiannya ditukar nama sebagai Gunung Chintawangsa, terletak kira-kira 40km di tenggara Kuala Krai.

Sepanjang pemerintahannya, ramai pedagang dari luar terutama Arab dan China datang berdagang membuatkan nama Cik Siti Wan Kembang terkenal.

Kesan peninggalan seperti pinggan mangkuk, meja solek dan tab mandi Cik Siti Wan Kembang dikatakan masih terdapat di gua tersebut.

Namun kini kesemua itu tidak dapat dilihat lagi kerana pintu masuk ke gua berkenaan telah dihalang batu besar.

Masyarakat Melayu dahulu juga dikatakan turut menjadikan lokasi tersebut untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Dipercayai di dalam gua itu terdapat peninggalan harta karun yang disembunyikan oleh pihak tentera Jepun namun ia masih belum ditemui hingga kini.

Selesai di berikan taklimat mengenai aktiviti pada pagi itu kami melakukan senaman ringan untuk ‘memanaskan badan’ sebelum menerokai Gua Gelap, Gua Pagar dan Gua Keris.

Pendakian ke Gua Gelap agak santai, namun sedikit mencabar terutama kepada mereka yang mempunyai masalah ‘claustrophobia’ iaitu fobia di dalam tempat sempit dan gelap.

Ini kerana kami terpaksa menyusuri beberapa lorong sempit, berliku serta gelap dengan disulami jeritan ‘manja’ peserta yang ketakutan.

Kami turut terpaksa menyusup masuk melalui lubang kecil sehingga ada yang terpaksa merangkak.

Seterusnya kami di bawa memasuki ke Gua Pagar.

Di sini anda boleh mendengar muzik alam semula jadi yang dihasilkan oleh cengkerik dan juga kelawar. Sungguh menenangkan.

Kami turut berkesempatan untuk melihat hidupan satu sel (fungus) dan fern yang hanya terdapat di gua batu kapur.

Selain itu kami turut melihat fosil hidup seperti Begonia (asam batu) dan fosil rumpai laut yang hidup sejak 3,000 tahun dahulu menjadikan seolah-olah teori evolusi terbukti di sini.

Terdapat juga spesies labah-labah unik yang dikenali sebagai Trapdoor Spider, turut menjadi penghuni di gua ini dan dikatakan amat sukar untuk ditemui.

Pengalaman melihat sendiri fosil seaweed di tengah-tengah gua dan monkey head rock di dinding luar gua juga sungguh mengasyikkan.

Terdapat pelbagai jenis flora dan fauna di gua ini antaranya sejenis flora istimewa yang sukar ditemui di tempat lain.

Antaranya Vaughan’s Balsam yang dikatakan hanya dapat ditemui di Perlis dan Selatan Thailand.

Fenomena ‘God Light’

Misi kami kemudiannya diteruskan ke Gua Keris.

Antara keunikan gua batu kapur ini,  dikatakan telah berusia 150 juta tahun serta kaya dengan sumber mineral stalagmit dan stalaktit semula jadi yang masih aktif sehingga kini.

Laluan dalam gua juga agak mencabar kerana saya dan peserta lain perlu menyusuri batu-batu besar yang licin.

Namun kesukaran itu seakan berbalas apabila melihat bongkah batu yang menyerupai bilah keris tercacak di gua tersebut.

Bongkah batu yang berbentuk kon itu terbentuk daripada air yang menitis.

Hasil daripada proses itu, ia kelihatan begitu mistik dan mengagumkan serta menimbulkan pelbagai persoalan kejadiannya.

Stalaktit dan stalagmit yang terdapat di dalam gua itu juga akan bersinar apabila disuluh.

Terdapat juga satu fenomena laluan cahaya iaitu kejadian satu alur cahaya matahari menembusi terus ke dalam gua melalui celahan siling gua.

Fenomena ini terkenal dengan jolokan God Light atau cahaya bukaan gua yang merupakan lokasi terbaik untuk merakam kenangan di gua batu kapur ini.

Menurut Mohd Shamsul selaku jurucakap, gua ini juga merupakan perkampungan untuk makhluk mistik.

Mereka yang bermalam di sini, sering mendengar pelbagai bunyi aneh.

Maka tidak hairanlah jika dikatakan gua batu kapur ini menyimpan pelbagai misteri alam dan merupakan makmal alam semula jadi yang unik untuk dilawati.

Selain itu, terdapat dua gua lagi di Kompleks Gua Ikan ini iaitu Gua Pacat dan Gua Manggis yang turut menyimpan pelbagai sejarah serta mitos tersendiri.

Namun ia tidak begitu menonjol kerana masih belum diterokai selain faktor jarak yang agak jauh.

Pendakian bermula

Setelah melepaskan lelah, tepat jam 12.30 petang kami meneruskan perjalanan untuk mendaki Air Terjun Jelawang.

Kami menuju ke kaki gunung Stong yang terletak di Stong Hill Resort.

Dari kejauhan sudah kelihatan air terjun Jelawang yang mengalir di atas bongkah batu besar.

Masing-masing kelihatan begitu teruja kerana tidak sabar untuk berendam sambil menikmati 'jakuzi' semula jadi.

Sabaik tiba, kami di jamu dengan makan tengah hari yang di sediakan Haslina atau panggilan mesranya Kak Lin dan Noor Azimah selaku jurumasak.

Walaupun menu pada petang itu agak ringkas, namun kehadiran ulam dan budu terasa begitu menyelerakan.

Selesai makan dan solat Zohor, kami meneruskan pendakian menuju ke Kem Baha.

Kem yang berada di pertengahan Gunung Baha ini merupakan tapak perkhemahan yang diwujudkan di puncak Air Terjun Jelawang.

Ia juga merupaka tempat pertembungan dua sungai dari Gunung Stong dan Gunung Ayam yang digelar ‘The Last Waterfall’ oleh penduduk tempatan.

Setelah tiga jam setengah mendaki, kami tiba di tapak perkhemahan.

Kepenatan ketika mendaki seakan hilang tatkala melihat pemandangan yang begitu indah di sini

Deruan air terjun menjadi latar siulan potret panorama di Air Terjun Jelawang ini.

Di Kem Baha ini anda boleh bermalam sama ada dengan berkhemah ataupun menginap di chalet yang disediakan.

Namun kami memilih untuk bermalam di khemah bagi merasai pengalaman sebenar berada di hutan.

Mengikut cerita penduduk tempatan, kawasan Hutan Jelawang ini dibuka oleh seorang yang bernama Baha yang pernah berkhidmat sebagai seorang anggota komando Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berhenti selepas berkhidmat selama 15 tahun dan mengabadikan dirinya di Hutan Jelawang kerana minat yang mendalam terhadap alam sekitar.

Dari penat lelah beliaulah maka akhirnya 10 puncak di kawasan tersebut ditemui di mana salah satu daripadanya diabadikan menggunakan namanya.

Dia juga pernah tidur seorang diri di puncak yang diabadikan namanya itu.

Aktiviti kami pada petang itu agak santai, selain menikmati keindahan air terjun rata-rata memilih untuk berehat sambil bertukar-tukar cerita dan pengalaman.

Pada sebelah malam kami dijamukan dengan masakan tomyam ayam dan kailan ikan masin.

Sejurus kesemua 39 peserta diminta untuk berkumpul untuk sesi taklimat.

Kami diingatkan mengenai tatacara, disiplin masa yang perlu dipatuhi serta laluan trek untuk misi pendakian esok pagi.

Kami turut dimaklumkan agar menjaga adap sopan serta sentiasa peka dan berhati-hati dengan kehadiran haiwan liar seperti gajah Asia, seladang, kuang, harimau Malaya, kambing gurun dan tapir.

Haiwan-haiwan tersebut dikatakan mudah kelihatan merayau di dalam kawasan ini.

Menawan tiga puncak

Seawal jam 7.30 pagi, kesemua peserta dilihat telah bersiap seolah tidak sabar untuk memulakan pendakian.

Sejurus selepas bacaan doa, kami memulakan misi menawan tiga puncak iaitu Gunung Baha dengan ketinggian 1,450 meter dari aras laut, Gunung Ayam, 1,500 meter dan Gunung Stong setinggi 1,433 meter.

Gunung Baha mempunyai sejarah dan lagenda tersendiri, kerana pernah menjadi lokasi raja berketurunan dari Champa, Kemboja suatu ketika dahulu.

Raja itu dikatakan menjelajah dari negaranya ke sini sebelum ‘berkampung’ di situ kerana strategik untuk mengintip musuh dari jauh.

Beberapa gua di situ pula menjadi tempat askarnya untuk mengawal dan berkubu bagi mempertahankan rajanya sehingga beberapa lama.

Lagenda Puteri Saadong

Sementara Gunung Ayam pula dikaitkan dengan Puteri Saadong yang dikatakan merajuk membawa diri.

Menurut cerita Puteri itu berpindah ke Gunung Ayam bersama ibu angkatnya iaitu Che Siti Wan Kembang selepas merasa tidak tenteram berada di Bukit Marak.

Puteri Saadong dikatakan makan hati dengan sikap segelintir penduduk kampung yang tidak bertanggungjawab kerana tidak menepati janji.

Ketika bersemayam di sebuah gua di Bukit Marak, penduduk kampung sering datang ke gua itu untuk meminjam pinggan mangkuk apabila mengadakan majlis jamuan.

Namun, selepas menggunakan pinggan mangkuk tersebut, mereka tidak memulangkan semula barang-barang yang dipinjamkan itu.

Keadaan ini menyebabkan Puteri Saadong marah dan bertindak meninggalkan Bukit Marak lalu berpindah ke Gunung Ayam.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kebenaran cerita tersebut kerana terdapat pelbagai pendapat mengenai kisah Puteri Saadong yang menghilangkan diri tanpa diketahui di mana pengakhiran kisahnya.

Sepanjang pendakian kami dihiburkan dengan alunan muzik hutan hasil dari kicauan burung, unggas dan suasana alam semula jadi.

Cuaca seakan bersahabat dengan kami, sehingga memudahkan lagi misi pada hari itu.

Selepas lebih enam jam mendaki, akhirnya puncak Baha dan Ayam berjaya kami tawan.

Namun keberadaan najis gajah yang banyak dan masih baru membuatkan kami tidak berlama di puncak itu.

Seusai bergambar kami segera turun untuk meneruskan perjalanan ke puncak terakhir.

Kira-kira dua jam kemudian, kami akhirnya tiba di puncak Gunung Stong.

Walaupun keletihan, rasa puas dan gembira jelas terpancar di wajah setiap peserta yang berjaya menawan puncak gunung tersebut.

Sesekali kedengaran juga suara serangga hutan yang seolah-olah 'mengejek' kami yang keletihan.

Dari puncaK Gunung Stong, kami dapat melihat pemandangan cantik dan mengujakan Taman Negeri Gunung Stong itu.

Dari situ kami juga boleh melihat puncak Gunung Ayam dan Baha yang begitu cantik diselaputi kabus tebal.

Suasana di puncak gunung itu juga sangat nyaman dan menenangkan dengan suhu antara 15 dan 18 darjah selsius.

Selepas puas berehat kami segera berjalan turun ke tapak perkhemahan.

Perjalanan agak mudah kerana laluan yang menurun namun disebakan trek yang agak panjang, kami hanya tiba di tapak perkhemahan sekitar jam 8.30 malam.

Selain tiga gunung tadi, terdapat tujuh lagi puncak yang boleh di tawan di kawasan ini.

Iaitu Gunung Kopi (1,240m), Gunung Saji (1,284m), Gunung Chik Tahir (1,430m), Gunung Nyelit (1,345m), Gunung Beirut (1,380m), Gunung Tera (1,555m) dan Gunung Noring (1,889m).

Pada sebelah malam, kami hanya berehat sambil melayan keindahan hamparan bintang di langit.

Masa untuk pulang

Keesokkan paginya, selepas bersarapan semua peserta tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman meluncur batu di air terjun tersebut.

Menurut penduduk tempatan air terjun Jelawang ini pada satu ketika dahulu menjadi sumber air masyarakat.

Selain menyimpan seribu satu kisah tentang Puteri Saadong yang menjadi lagenda negeri "Cik Siti Wan Kembang’, kawasan air terjun ini turut terdapat batu berbentuk congkak milik Puteri tersebut.

Malah beberapa penemuan sejarah seperti pinggan mangkuk pernah ditemukan di kawasan ini.

Setelah puas bermandi-manda kami segera bersiap untuk pulang.

Segala peralatan perkhemahan dikemas dan sampah sarap dikumpul. Setelah memastikan kawasan tersebut bersih, kami mula berjalan turun.

Sepanjang laluan kami sekali lagi dihidangkan dengan keindahan panorama hijau sambil menyaksikan hutan hujan tropika yang masih belum dicemari.

Tambahan pula Taman Negeri ini dianggap sebagai antara kawasan hutan hujan tertua di dunia yang dianggarkan berusia tujuh juta tahun.

Paling menarik kami turut diberi kesempatan untuk melalui jambatan gantung yang terdapat di Taman Negeri itu.

Apa yang pasti pengalaman 3 hari 2 malam itu benar-benar meninggalkan seribu kenangan manis buat kami semua.