JIKA Langkawi mempunyai kisah legenda Mahsuri, di Kampung Padang Che Mas di sini juga turut mempunyai kisah tersendiri.

Di sebalik keindahan semula jadi di sini, terdapat kisah seorang wanita yang berkait rapat dengan nama Kampung Padang Che Mas.

Pengerusi Surau At Taqwa Kampung Padang Che Mas, Hashim Aziz, 72, berkata, nama kampung itu diambil sempena kawasan perkuburan wanita bernama Che Mas.

Menurutnya, Che Mas adalah wanita berasal dari wilayah Patani, Thailand dan dibesarkan di kampung itu.

"Ratusan tahun lalu, keluarganya berhijrah dari Patani dan mereka menetap di sini.

"Kampung ini boleh dikatakan semua berasal dari Patani kerana nenek moyang kami lari dari serangan yang berleluasa pada zaman itu," katanya.

Berdasarkan cerita disampaikan orang-orang lama katanya, Che Mas adalah wanita paling cantik di kampung itu hingga menjadi rebutan ramai lelaki.

"Dikatakan wajahnya ayu, kulitnya putih kemerahan, rambut ikal. Siapa yang tengok, senang cerita tertarik dengannya.

"Akhlaknya pun baik, rajin dan bijak," katanya.

Menurutnya, ramai penduduk waktu itu menaruh hati untuk berkahwin dengan Che Mas.

"Dalam ramai-ramai itu, dua lelaki paling berani dan kuat. Kedua-duanya saling cabar mencabar untuk tentukan siapa paling layak dapat Che Mas.

"Tetapi Che Mas tidak berpihak mana-mana. Dia tak suka dirinya menjadi rebutan lelaki," katanya.

Hashim berkata, cabaran dua lelaki berkenaan akhirnya berakhir dengan pertarungan.

"Depa berlawan sampai tikam menikam tapi tak ada pemenang. Kemungkinan dua lelaki itu orang yang mempunyai pengaruh. Bukan calang-calang.

"Siapa dua lelaki itu tak diceritakan secara mendalam oleh orang-orang tua dulu," katanya.

Disebabkan rasa tidak puas hati katanya, Che Mas akhirnya dibunuh salah seorang daripadanya.

"Masing-masing tak mau Che Mas dimiliki siapa-siapa. Akhirnya Che Mas dibunuh.

"Tetapi tak diceritakan siapa antara dua lelaki itu bunuh Che Mas. Ada yang kata dua lelaki itu lari semula ke tempat asal selepas kejadian," katanya.

Katanya, Che Mas dikebumikan di sebuah padang dan nama kawasan itu diabadikan sebagai sebuah kampung hingga hari ini.

Pelbagai versi cerita

Namun ada juga versi lain yang diceritakan penduduk mengenai Che Mas.

Salah satunya ialah wanita cantik itu berkahwin dengan salah seorang lelaki yang menang dalam pertarungan.

Penduduk, Wan Idris Harun, 79, berkata, menurut kisah lama disampaikan, perkahwinan Che Mas bagaimanapun tidak kekal.

Menurutnya, Che Mas mati dibunuh akibat ditembak di rumahnya.

"Pengikut lelaki yang tewas tidak berpuas hati dan datang ke rumahnya di kampung ini juga.

"Kumpulan itu bertindak membunuh suami Che Mas dan membunuh Che Mas sekali," katanya.

Dalam pada itu menurutnya, kematian wanita itu juga dikaitkan dengan kisah mistik.

"Ada orang tua dulu-dulu pernah dengar suara perempuan minta tolong di kawasan kubur Che Mas," katanya.

Zaid (tengah) dan penduduk menunjukkan kawasan perkuburan Che Mas yang dahulunya padang.

Wan Idris berkata, kawasan kubur Che Mas dahulunya sama paras dengan jalan kampung.

"Tetapi sebahagian tanah kawasan ini telah diambil untuk pembinaan surau sekarang.

"Cuma orang-orang dulu yang tahu lokasi sebenar kubur. Tapi depa kata kawasan inilah," katanya

Kampung Che Mas setaraf Langkawi

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Dalam Wang, Mohd Zaid Abd Mokhti berkata, terdapat versi lebih mudah diterima akal dan logik.

Katanya, dalam versi ketiga, kematian Che Mas berpunca akibat terkena tikaman ketika cuba meleraikan pergaduhan dua lelaki terbabit.

"Tetapi semua versi ini hampir sama. Asasnya Che Mas menjadi rebutan kerana kecantikan dimiliki.

"Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) diharap dapat melakukan kajian terhadap sejarah di kampung ini," katanya.

Katanya, kesahihan yang dibuktikan daripada kajian PSCMK dapat menarik ramai pelancong ke kampung itu.

Sebahagian tanah di kawasan perkuburan Che Mas digunakan bagi membina tapak surau ini.

"Geografi kampung ini amat menarik dan sesuai dijadikan kawasan pelancongan.

"Kisah Che Mas juga hampir sama dengan Mahsuri. Cuma di sini belum ada kajian dan promosi," katanya.

Manakala, bekas guru agama, Omar Abdullah,77, berkata, kubur Che Mas terdapat di hujung kampung berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kubur itu diratakan sebelum merdeka bagi tujuan pertanian.

"Memang terdapat kubur Che Mas di hujung kampung itu, tetapi pada zaman komunis kawasan itu telah dicuci untuk tanaman pokok tembakau," katanya.