SHAH ALAM - Bajet 2018 yang digelar sebagai ‘ibu segala bajet’ didakwa  memiliki kelompangan cukup besar apabila gagal menunjukkan bagaimana kerajaan mampu mengimbangi antara perbelanjaan dan pendapatan.

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai janji telah ditabur untuk memperdaya rakyat supaya menyokong BN pada PRU14.

“Bagaimanakah kerajaan ini akan menepati janji-janji bajet yang dibentangkan, walhal ia belum menunjukkan bagaimana pendapatan kerajaan akan ditambah.

“Ini langsung tidak ditunjukkan dalam mana-mana bahagian bajet ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Bajet 2018 yang dibentangkannya sebagai 'ibu segala bajet'.

Najib memaklumkan, belanjawan kali ini mencipta sejarah sebagai bajet paling inklusif pernah dipersembahkan.

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan sama juga tidak menolak beberapa cukai baharu atau peningkatan dan perluasan cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas rakyat.

“Sekiranya BN menang PRU14, saya yakin mereka akan segera mengumumkan cukai-cukai baru atau peningkatan cukai GST.

“Rakyatlah yang akan menderita dan yang akan menanggung beban ini bagi membolehkan parti BN melaksanakan segala janji yang dibuat di dalam bajet ini,” katanya.