CHERAS - Ketua Penyelaras Amanah Cheras, Datuk Aliff Tafid  mempertahankan dirinya susulan gesaan beberapa Ketua Cawangan Penaja Amanah mahu dia dikenakan tindakan oleh Biro Disiplin dan Tatatertib Amanah selepas beliau hadir dan berucap pada Himpunan Keadilan Untuk Adib di Putrajaya, baru-baru ini.

Aliff turut mempersoalkan adakah menjadi kesalahan baginya untuk menyertai perhimpunan itu dan menyuarakan pembelaan ke atas Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim serta menggesa agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy meletak jawatan.

"Adakah salah saya menggunakan nama Amanah sebagai platform saya dalam menyuarakan keadilan untuk Adib? Adakah saya langgar disiplin parti? Rujuk semula Perlembagaan Amanah Fasal 3 (Dasar dan Tujuan), Fasal 6 (Tanggungjawab dan Hak Ahli), Fasal 21 (Lembaga dan Tatatertib).

"Kejujuran yang saya lakukan adalah mengikut Perlembagaan Amanah mengikut Fasal 3 (3.1) iaitu dinyatakan sebagai; memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan. Masih salahkah saya?

"Jika apa yang diutarakan oleh Mejar Razali Zakaria selaku Ketua Cawangan Taman Kobena dan lain-lain supaya saya digantung. Maka saya terima dengan hati yang terbuka," katanya.

Terdahulu, menerusi sidang media semalam, Razali bersama enam lagi ketua cawangan penaja menggesa Aliff dikenakan tindakan selepas menyertai perhimpunan berkenaan dan berucap atas kapasiti Ketua Penyelaras Amanah Cheras.

Selain itu, mereka turut mendakwa bahawa jawatan Ketua Penyelaras Amanah Cheras tidak wujud dan mahu Aliff memberikan penjelasan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan ahli parti.

Menjawab dakwaan berkaitan jawatan itu, Aliff berkata tidak logik jika jawatan itu tidak wujud sedangkan pimpinan Amanah peringkat negeri sendiri telah hadir merasmikan majlis perasmian serentak tiga cawangan di kawasan itu.

"Kalau benar tidak wujud, bagaimana dalam Amanah Cheras kini boleh bergerak melaksanakan 19 Mesyuarat yang rasmi dan tidak rasmi dalam tempoh tiga bulan, malah saya sendiri yang jemput pimpinan negeri ke mesyuarat.

"Bagaimana ahli Amanah Cheras kini boleh berdiri seramai 500 lebih dan mempunyai kuantiti cawangan lebih dari apa yang disangkakan? Untuk makluman, Amanah Cheras saya yang membukanya dengan melebarkan lagi sayap sehingga saya dapat mewujudkan cawangan yang lebih dan ahli yang ramai dalam tempoh masa tiga bulan.

"(Mejar) Razali (Zakaria) dan rakan-rakannya adalah ahli bagi kumpulan kedua yang dirasmikan di Pudu Ulu, selepas Perasmian di Taman Jaya, Cheras. Jadi, bagaimana dia boleh nyatakan dalam media bahawa 'Ketua Penyelaras Amanah Cheras' tidak wujud?," katanya.