KUALA LUMPUR - Usaha Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membantu usahawan pemprosesan ayam, Wan Azizah Wan Salleh mendapat pujian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, kejayaan AIM turut bertitik tolak daripada usaha Menteri Pelajaran pada 1987 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Terima kasih Yang Amat Berhormat Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak) atas cerita Kak Wan dan bersusah payah menjemput Kak Wan Azizah Wan Salleh ke dewan yang mulia ini. Tahniah saya ucapkan kepada AIM di atas kejayaan membimbing seorang usahawan wanita hingga berjaya.

"Saya nak ingatkan dewan yang mulia ini, asal usul usaha ini  bermula hasil penyelidikan dan kertas cadangan pasukan Universiti Sains Malaysia yang telah diangkat pada tahun 1987 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pelajaran pada waktu itu, menjadi program khas dalam usaha membasmi kemiskinan rakyat. Program khas inilah diberi nama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

"Kejayaan Kak Wan membuktikan kejayaan program yang dihidupkan Anwar," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2018), di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2018 Jumaat lalu, Perdana Menteri memberikan contoh Wan Azizah sebagai salah seorang usahawan contoh AIM.

Ini berikutan kisah usahawan itu yang berjaya bergelar jutawan dalam bidang ternakan dan pemprosesan ayam dengan modal hanya RM500 daripada AIM pada 1993.