SHAH ALAM - Chef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob mendedahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes merupakan orang yang bertanggungjawab menjadikan beliau seperti hari ini.

Katanya, dikala orang tidak mempercayai bakatnya, Tony yang juga merupakan bekas bosnya dalam Warner Music banyak menitipkan nasihat serta memberi saranan kepadanya sehingga beliau berjaya pada hari ini.

"Tatkala ramai orang menyarankan saya agar kekal menyanyi sahaja ada seorang hamba ALLAH ini memberi saranan yang berbeza.

"Katanya, kalau saya hendak kekal relevan  jangan hanya menyanyi tapi berlakon buat bisnes sendiri, beliau juga menyarankan agar saya menukar nama saya kepada Fazley , kini setelah 20 tahun saya masih bernyanyi, berlakon mengacara jadi untuk kekal relevan kita kena kembangkan kemahiran," katanya di Wacana Sinar Ilmuan bersama Majlis Profesor Negara (MPN) bertajuk Selebriti Malaysia: Antara Glamor dan Sumbangan Sosial.

Selain beliau, wacana ini turut menampilkan penyanyi, Wan Aishah Wan Ariffin dan Profesor Fakulti Ekologi Universiti Putra Malaysia  (UPM), Prof Dr Zaid Ahmad sebagai panel.

Dalam pada itu katanya, untuk kekal relevan dalam apa-apa bidang setiap kita perlu 'terbang lebih tinggi' daripada orang lain.

"Untuk kekal relevan terbang lebih tinggi dengan lebih banyak sayap," katanya.