KALI ini Libur ingin membawa anda ke satu restoran yang menyediakan pelbagai jenis stik daripada sumber ternakan yang dijaga dengan rapi bagi menghasilkan daging berkualiti.

Restoran Projek Maging Steakhub membawa maksud ‘makan daging’ khusus buat penggemar makanan berasaskan daging.  Ada yang sanggup membayar lebih demi untuk menikmati daging berkhasiat.

Restoran yang terletak di Pusat Perniagaan Uda, Bandar Baru Uda, Johor Baharu menyajikan  pelbagai hidangan daging import pada harga mengikut kemampuan.

Menurut pemiliknya, Nurzaweena Mohd. Zaki, pilihan stik di restorannya berbeza mengikut jenis baka lembu dan makanan yang dimakan oleh baka lembu tersebut. Pilihan boleh dibuat di chiller. Pilih jenis daging sebagaimana anda memilih ikan untuk dibakar.

 

Antara menu yang ditawarkan ialah lamb ribs, beef ribs, angus steak, wagyu ribeye, wagyu striploin, lamb loin, lamb rack dan matsusaka. Harga satu set ( berserta kentang lenyek dan salad bagi Grain Fed RM40++, Angus RM80++, Wagyu RM150++, Lamb RM40++,Beef Ribs RM40++ dan Lamb Ribs RM50++.

 

Pilihan ialah mengikut bajet dan selera masing-masing. Jika jenis baka yang sama, harga berbeza mengikut berat. Projek Maging juga ada menjual 'chicken chop' dan ikan salmon serta menu bagi kanak-kanak.

Bagi pelanggan yang tidak makan stik boleh juga mencuba salad, piza dan pasta carbonara, bolognese atau Aglio Olio. Anda boleh memesan sup dan beef bruschetta sebagai pembuka hidangan. Untuk hidangan pemanis mulut, anda boleh mencuba red velvet nutella, Pavlova dan Creme Brulee yang dibuat setiap hari.

Sejak beroperasi tahun lalu, pemilik akui restorannya mendapat sambutan baik daripada orang ramai, khususnya penggemar daging.

“Untuk sebarang tempahan tempat duduk, pelanggan boleh maklumkan nama, tarikh, hari, waktu, jumlah orang dewasa atau kanak-kanak dan umur kanak-kanak. Kemudian tunggu balasan pengesahan tempahan.

"Jika pernah datang, anda boleh membuat pra tempahan menu dan stik dengan memberitahu pihak restoran jenis dan lingkungan bajet untuk kami pilih daging dan siap tersedia dimasak.

Pra tempahan juga boleh membantu memastikan anda dapat makanan yang anda mahu sebelum kehabisan stok pada hari tersebut. Pembayaran deposit boleh dibuat ke akaun melalui Maybank2u. Jika hanya tempahan tempat duduk tidak perlu membayar deposit,” jelas pemilik.

Jika anda penggemar daging, Restoran Projek Maging ialah lokasi yang wajib dikunjungi dan pasti membuat anda datang lagi buat kali kedua.

INFO:

- Pilih sendiri jenis daging,berat & potongan yang bagaimana. Ada lima pilihan iaitu Rare ( 20%),Medium Rare (40%), Medium( 60%), Medium Well(80%) dan Well Done(100%).Disyorkan peratus masakan medium atau medium well untuk merasa jus daging tersebut.

- Ada lebih kurang 12 jenis daging yang boleh dipilih termasuk gred yang tinggi iaitu Wagyu dan Angus, gred pertengahan seperti Grainfed dan Grassfed. Lamb dan Ribs bagi mereka yang suka ada tulang.  Apabila dimasukkan ke dalam mulut memang terasa kelembutan dan jus daging tersebut. Tidak liat ketika dipotong menggunakan pisau.

- Daging disimpan secara dingin beku.

- Dibuka setiap hari kecuali Isnin

* 12.00 PM – 2.30 PM (tengah hari)

* 6.00 PM – 10.30 PM (malam)

* 4.30 PM – 10.30 PM (Jumaat)