KELAINAN yang cuba dibawa seorang peniaga dari Kampung Charok Gorok, di sini dengan menjual char kuey teow daging kambing ternyata berjaya memikat hati pelanggan.

Peniaga, Abdul Kori Ahmad, 47, berkata, char kuey teow itu turut dijual dalam mangkuk bersaiz besar sejak setahun lalu dengan rasa kuah istimewa.

"Dalam ini ada daging kambing, tauge dan beberapa ekor udang.

"Saya belajar masak kuah char kuey teow ini daripada seorang peniaga dari Mukim Siong. Tapi untuk tambahkan lagi keenakan, resipi itu saya olah sikit lagi," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan pelanggan sentiasa berpuas hati, dia menggunakan daging segar dalam masakannya.

"Kadang-kadang saya guna daging kambing yang disembelih sendiri. Kadang saya guna daging sejuk beku.

"Saya jual RM6 sebab kawasan kampung. Penduduk pun menoreh getah," katanya.

Tambahnya, dia turut menjual char kuey teow kerang, ayam, sotong dan daging lembu dengan harga RM4 semangkuk.

"Seminggu saya hanya buka tiga kali saja bermula jam enam hingga 12 tengah malam.

"Selebihnya kedai tutup sebab saya kerja malam sebagai pengawal keselamatan," katanya.