KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Jumaat ini sebagai keputusan terhadap permohonan peguam, Tan Sri Shafee Abdullah bagi mendapatkan perintah tegahan (gag order) untuk menghalang perbicaraan awam berkaitan merit pertuduhan terhadap anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendengar permohonan Shafee dan tiada bantahan daripada pendakwaan.

Terdahulu Shafee dalam hujahannya berkata, pihak pembelaan telah memfailkan permohonan bertulis berkenaan isu tersebut semalam.

Dokumen itu perlu diteliti sebelum kedua-dua pihak berhujah.

Pada prosiding itu, Mohd Nazlan turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk menggabungkan tiga pertuduhan penggubahan wang haram bagi dibicarakan bersama dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah sebelum ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Najib didakwa terima RM42 juta wang haram ]

Mahkamah juga membenarkan Najib menggunakan jaminan RM1 juta sebelum ini sebagai jaminan untuk kes penggubahan wang haram.

Tarikh perbicaraan terhadap kesemua kes yang dihadapi Najib ditetapkan oleh mahkamah selepas isu perintah tegahan diputuskan pada Jumaat.

Pada 4 Jun lalu, Mahkamah Tinggi  Kuala Lumpur membenarkan permohonan Shafee untuk mendapatkan perintah tegahan sementara.