KITA selalu mendengar peribahasa “kerbau punya susu, sapi punya nama” tetapi jarang sekali mendengar peribahasa “hilang jasa beliung, timbul jasa rimbas.”

Kedua-dua peribahasa ini membawa maksud yang sama iaitu, orang lain yang berbuat kebaikan (berusaha, bersusah payah), orang lain pula yang mendapat pujian.

Saya teringat peribahasa ini apabila terbaca kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berjaya merekodkan pelaburan bernilai RM2.2 bilion setakat September yang lalu.

Perkataan pelaburan dan kerajaan PH ini sangat menarik perhatian saya kerana pelaburan dalam negeri tidak akan datang sekelip mata.

Mereka yang tahu mengenai usaha menarik pelaburan asing dan tempatan mengambil masa sekitar 6 -12 bulan. Ini bermula daripada cadangan pelaburan sama ada dari pelabur sendiri atau kerajaan negeri, prosedur kelulusan dan akhir sekali wang pelaburan mula dibawa masuk untuk pembangunan infra dan niaga.

Mengikut Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), antara Januari-Jun 2018, sejumlah RM1.6 bilion pelaburan dalam perkilangan telah diluluskan di Negeri Sembilan.

Data yang saya perolehi dalam sektor perkilangan sahaja, belum lagi mengambil kira sektor perkhidmatan, pertanian dan lain-lain.

Justeru adalah sangat aneh apabila Aminuddin cuba mendakwa pelaburan sehingga September 2018 adalah hasil usaha kerajaan PH Negeri Sembilan.

Para pemimpin kerajaan baharu perlu sedar bahawa jika ada pelaburan masuk tahun ini malah tahun depan pun ia adalah hasil usaha berbulan, malah mungkin bertahun, untuk kerajaan bagi meyakinkan pelabur asing dan tempatan supaya melabur wang mereka di sini.

Sebenarnya tidak salah untuk Menteri Besar mahu memberitahu rakyat mengenai pelaburan yang diterima oleh negeri. Cuma jika ia bukan kerja kita janganlah cuba mendapat nama sewenang-wenangnya.

Jika tidak mahu memberi pengiktirafan kepada usaha Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan kerajaan BN sebelum ini pun, janganlah pula cuba mengaku usaha orang lain sebagai kejayaan sendiri. Umum sahajalah “Kerajaan Negeri Sembilan” berjaya menarik pelaburan, bukannya “Kerajaan PH Negeri Sembilan”.

Namun untuk kehilangan pelabur pula sangat mudah dan sekelip mata, Apabila pelabur tidak yakin dengan kerajaan mereka tidak tunggu setahun dua sebelum lari terutamanya pelabur yang mudah tunai. Mereka akan keluar dari pelaburan dengan cepat dalam pasaran saham, matawang dan deposit tetap.

Pelbagai kenyataan dan keputusan yang di luar kebijaksanaan politik telah menyebabkan kerajaan berhadapan masalah “trust deficit”.

Sebab itu kita lihat sehingga Oktober 2018 sejumlah RM9.8 bilion ringgit telah keluar dari Bursa Malaysia. Pada masa yang sama nilai Ringgit terus merosot berbanding Dolar US walaupun harga minyak jauh lebih tinggi berbanding sebelum pilihan raya.

Terdapat khabar angin Bank Negara Malaysia telah campur tangan untuk menstabilkan nilai Ringgit tetapi masih gagal.

Kita juga masih ingat beberapa minggu lalu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menulis, “Kementerian Kewangan bersetuju memperkenalkan Skim Baucar Buku untuk mahasiswa. Skim baucar buku ini salah satu perjuangan saya buat mahasiswa."

Kenyataan ini mendapat kritikan dan sindiran ramai termasuk oleh bekas Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak. Ini kerana skim ini diperkenalkan sejak 2012 dengan nama Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) diperkenalkan pada 2012 sebelum dijenamakan semula pada 2017 dengan nama KADS1M Debit-i. Skim ini memberi bantuan RM250 setahun kepada mahasiswa bagi tujuan pembelian buku dan peralatan belajar.

Kita tahu, seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, kebanyakan mereka yang memegang jawatan dalam pentadbiran politik negara dan negeri sekarang tiada pengalaman dan ilmu pentadbiran. Namun janganlah selalu sangat menggunakan alasan ini menutup kesilapan dan kelemahan yang berlaku.

Kebanyakan kesilapan dan kelemahan yang dilakukan oleh pemimpin politik kerajaan hari ini adalah dalam pengetahuan am sahaja.

Jika perkara asas mengikut logik pun mereka gagal faham, apa harapan kita untuk mereka menyelesaikan masalah rakyat dan negara yang lebih kompleks dan teknikal?

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan nasionalis (Akar)