DALAM era teknologi dan globalisasi, kita didedahkan dengan pelbagai teknologi baharu yang memudahkan kita berhubung antara satu sama lain. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam menuju ke arah dunia digital atau lebih dikenali sebagai industri 4.0 di mana keinginan pasaran bertukar ke arah teknologi canggih seperti software, mesin, aplikasi mudah alih dan sebagainya.

Biarpun begitu, terdapat sesetengah pengkaji mengatakan kemajuan ini akan mengakibatkan kepada penurunan permintaan tenaga buruh dan kemungkinan ramai yang akan hilang pekerjaan akibat dari teknologi ini. Sebaliknya, seperti yang kita lihat peluang pekerjaan kini telah beralih arah kepada pekerjaan di alam maya. Sesetengah syarikat pula mula untuk mengambil khidmat pekerja melalui laman sesawang yang mempunyai pelbagai pilihan seterusnya dapat mengurangkan kos.

Secara awalnya, penggunaan internet membantu kita untuk berinteraksi dengan individu dari berlainan negara. Menerusi aplikasi seperti media sosial iaitu WhatsApp, Facebook, Instagram dah Skype membuka ruang untuk kita menambah kenalan secara visual dan bukan secara fizikal.

Teknologi internet juga membentuk satu konsep kerjaya baharu di mana masyarakat boleh menjana pendapatan menerusi laman sesawang yang ditawarkan. Kerjaya itu dinamakan sebagai freelancer yang berkonsepkan ekonomi gig. Secara definisinya freelancer ditafsirkan sebagai individu yang berdiri di atas kaki sendiri apabila mereka tidak mempunyai pendapatan tetap tetapi beroleh pendapatan jika menerima tawaran kerja.

Kerjaya freelance membolehkan individu bekerja secara fleksibel dari segi masa dan tempat. Tidak seperti pekerja tetap yang perlu mula bekerja jam 8 dan berakhir jam 5, freelance hanya bekerja mengikut kesesuaian diri dan tidak terikat dengan mana-mana organisasi. Seorang freelance boleh menyiapkan hasilnya di rumah selagi mereka boleh mengakses kepada internet.

Dengan teknologi juga, kerjaya freelance telah berkembang pada pelbagai bidang fokusnya dalam industri kreatif seperti pereka grafik, penterjemah, penulis blog, dan bermacam lagi. Ini kerana industri seperti ini berkait rapat dengan idea dan bakat yang boleh didapati melalui self-learn mahupun mengambil kursus tertentu.

Kerjaya sebagai freelancer sangat mudah kerana adanya laman sesawang yang khusus untuk kerjaya ini seperti Freelancer.com, Guru.com, Elance, Fiverr, Dojob.biz, Upwork.com dan sebagainya. Freelancer hanya perlu menyediakan portfolio sendiri, seterusnya menawarkan perkhidmatan atau hasil, dan sedia untuk menerima bayaran. Namun, kerjaya seorang freelancer juga mendatangkan banyak cabaran dan risiko.

Salah seorang freelancer berjaya iaitu Siti Nurain, seorang penterjemah dan penulis bebas menerima pelanggan daripada syarikat terkemuka dari dalam dan luar negara. Ada kalanya beliau pernah berhadapan dengan pelanggan yang enggan membuat bayaran apabila hasil kerjayanya siap dihantar. Apa pun, beliau tetap cekal dan tabah mengharungi situasi tersebut dan setelah bertahan selama beberapa tahun, beliau mampu menjana pendapatan sebanyak 2-3K setiap hasil kerjaya.

Menariknya, pendapatan yang diterima seorang freelancer adalah berbentuk mata wang USD, maka tidak hairanlah freelancer mampu beroleh wang yang sebegitu banyak. Semuanya bergantung kepada kepakaran serta disiplin dan komitmen diri yang tinggi.

Selain dari itu, freelance membuka peluang pekerjaan kepada semua lapisan masyarakat. Misalnya, ada juga pekerja tetap melakukan kerja-kerja freelance seperti pemandu Uber, jurugambar mahupun sebagai tutor. Hal ini sedikit sebanyak mampu membantu kepada pertumbuhan ekonomi negara dan produktiviti masyarakat.

Menurut statistik, pekerjaan freelance adalah seramai 400,000 dan dijangka meningkat kepada 650,000 menjelang tahun 2020. Ini membuktikan bahawa perkembangan teknologi digital sangat membantu membuka banyak peluang pekerjaan kepada pelajar, lepasan universiti, dan juga suri rumah.   

* Nur Izzani Raif, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan