DALAM menangani dan mendepani isu perubahan iklim, Konvensyen Kerangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) telah menggariskan lima tonggak utama, di antaranya adalah kewangan dan pemindahan teknologi.

Perubahan iklim adalah isu kritikal yang tidak boleh dipandang mudah. Sebaliknya menuntut perhatian serius daripada semua pihak dalam memastikan permasalahan berkesan dapat ditangani dengan lebih berkesan. Usaha gobal yang dimeterai pada Persidangan Perubahan Iklim Antarabangsa (COP 21) di Perancis, telah memperlihatkan komitmen dalam menangani isu secara kolektif oleh negara-negara membangun.

Bagi Malaysia, komitmen dalam mengurangkan kadar intensif pelepasan ‘Gas Rumah Hijau’ sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 adalah langkah yang dinamik. Dalam merealisasikan dasar teknologi hijau negara sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah pembangunan yang mampan, terdapat empat tonggak dasar yang diperkenalkan yang mana salah satunya adalah bagi meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi mesra alam.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) telah diperkenalkan oleh kerajaan sejak tahun 2010 yang bertujuan menggalakkan syarikat dan usahawan tempatan untuk meneroka pasaran projek berasaskan teknologi hijau bagi menyokong agenda teknologi hijau negara.

Sejak pengenalannya, GTFS telah berjaya menarik penyertaan usahawan projek-projek hijau bagi menyokong pembangunan 319 projek hijau di seluruh negara. GTFS menyediakan akses kepada kemudahan pembiayaan yang menarik dari institusi kewangan untuk syarikat dan industri tempatan.

Berdasarkan data terkumpul dari tahun 2010 sehingga 2017 yang diperoleh daripada keseluruhan permohonan GTFS, projek Biogas Power Plant telah menarik penyertaan sebanyak 47 permohonan projek hijau di mana jumlah keseluruhan kos projek membabitkan sebanyak RM0.824 juta. Dari kos keseluruhan itu, sebanyak 28 projek hijau telah pun mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan iaitu sebanyak 59.6% daripada jumlah sijil hijau yang telah dikeluarkan.

Sejumlah 40MW kapasiti yang terhasil melalui 28 projek POME biogas plant ini sebanyak RM0.027juta penjimatan daripada kos hijau keseluruhan projek biogas ini telah dapat dikurangkan hasil daripada pembiayaan oleh institusi kewangan dan pihak Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

Kemajuan ini agak memberangsangkan di mana ia telah menyokong pertumbuhan pasaran ekonomi baharu dalam sektor teknologi hijau negara.

Kemajuan pembangunan di bawah projek biogas ini merupakan satu inisiatif kerajaan dalam mempelbagaikan penggunaan komersial biogas dan pada masa sama menjadikannya sebagai pilihan untuk pengilang dan pengusaha tenaga boleh baharu (RE) sebagai sumber kuasa serta tenaga.

Pembiayaan seperti ini yang telah menampung kos peralatan dan mesin operasi projek pembinaan komersil biogas merupakan langkah proaktif yang berjaya dilaksanakan oleh kerajaan bersama-sama pihak industri untuk merancakkan pertumbuhan industri biogas berasaskan sawit. Ia dilihat mampu menyumbang kepada kejayaan industri sawit serta menjana pendapatan negara. Malah, pembinaan loji ini juga bakal menjadi model, loji rujukan dan alternatif penggunaan biogas secara komersial, selain untuk penjanaan elektrik dan stim.

Diharap kesinambungan skim ini akan lebih konsisten dan mengutamakan agenda kelestarian alam sekitar dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta dapat memberikan imej positif kepada industri sawit sebagai perusahaan yang mesra alam.

Dalam masa sama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyokong mandat Jabatan Alam Sekitar (DOE) dengan mengawal selia aktiviti dalam kilang minyak kelapa sawit, terutama melalui pelaksanaan pendaftaran dan perlesenan.

Secara amnya kerajaan berharap agar pemasangan jumlah loji kilang kelapa sawit yang menghasilkan sumber biogas akan dapat dicapai menjelang tahun 2020 sepertimana yang dianggarkan melalui GTMP Malaysia 2017-2030 iaitu sebanyak 500 buah loji akan dibina yang mana ianya dapat membekalkan elektrik kepada Grid National. Dari jumlah loji biogas ini, tidak mustahil pengurangan pelepasan 3,002ktCO2 boleh dicapai dan sebanyak 1.9 juta MW kuasa elektrik boleh dihasilkan.

Dengan adanya skim seperti ini telah mampu memberi nilai tambah dan impak positif terhadap sosioekonomi dan persekitaran yang bersih serta menggalakkan lagi kesedaran bagi mengurangi kadar pelepasan karbon. Ini kerana penggunaan gas asli cecair akan dapat mengurangkan kos bahan api dan seterusnya mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar bagi menyokong hasrat Rancangan Malaysia Kesebelas iaitu menuju kea rah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan.

Selaras dengan perkembangan pesat pasaran teknologi hijau di Malaysia dan permintaan pembiayaan oleh pihak industri biogas yang semakin meningkat, kerajaan komited untuk memastikan landskap industri berasaskan teknologi hijau tetap menarik, kompetetif dan dinamik. Inisiatif ini dijangka menggalakkan syarikat dan industri berasaskan teknologi hijau yang melaksanakan projek hijau mampu memberi kesan positif kepada pasaran hijau tempatan.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Greentech Malaysia