BERIKUTAN tindakan beberapa orang Ahli Parlimen dan Adun Sabah dan juga enam pemimpin Umno di Semenanjung yang isytihar keluar parti, beberapa pemimpin Umno lain menyarankan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai Presiden.

Di antara yang berterus terang ialah bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. Ada juga pemimpin yang memberi amaran seandainya Zahid tidak berundur, ramai lagi pemimpin Umno akan keluar parti.

Zahid pula menegaskan beliau tidak akan berundur. Katanya, hanya Persidangan Agung Umno (PAU) yang punyai kuasa untuk memutuskan beliau meletak jawatan. PAU baru sahaja berlangsung September lalu. PAU akan datang adalah pada tahun 2019. Kalau pun terdapat desakan untuk Umno mengadakan Persidangan Agong Khas, ia juga mengambil masa.

Kalau benar kata-kata bahawa beberapa orang pemimpin Umno lagi akan meninggalkan parti, maka itulah yang akan berlaku. Soalnya, apakah Umno akan rebah? Tidak. Kerana yang meninggalkan parti adalah para pemimpinnya. Sedangkan boleh dikatakan tiada laporan yang mengatakan ada ahli-ahli yang meninggalkan parti, apatah lagi membubarkan cawangan masing-masing.

Ertinya, yang menukar baju hanyalah sebahagian dari kalangan pemimpin-pemimpinnya. Hanya pucuk yang menggugurkan diri sedangkan akar-akarnya masih utuh. Sebagai sebuah pohon besar, pucuk-pucuk baharu akan tumbuh. Ia adalah rejuvenasi parti itu.

Betapa pun, masa untuk PAU akan tiba juga. Kelak, akan terjadi dua senario. Pertama, jika dalam tempoh beberapa bulan mendatang, sudah tiada pemimpin lain yang mengisytihar keluar parti, para pemimpin baharu tampil menggantikan mereka yang bersalin baju dan tiada isu yang besar yang menghakis imej parti, Zahid akan kekal menerajui Umno.

Kedua, seandainya PAU memutuskan agar Presidennya berundur, maka Presiden yang baharu akan dipilih. Barangkali, tokoh yang sedia ada seperti Datuk Seri Mohamad Hasan akan naik menjadi Presiden Umno.

Khairy yang pernah menawarkan diri bertanding jawatan Presiden akan diajak kembali memperkukuh parti.

Dalam fasa pemulihan semangat, adalah wajar bagi Umno untuk memilih pemimpinnya berdasarkan sokongan, dan bukan memilih mengikut kelaziman kuota pemimpin dari utara, timur dan selatan. Ertinya, dalam mode ini, para perwakilan perlu merestui gandingan Mohamad dan Khairy sebagai Presiden dan Timbalan meskipun mereka daripada negeri yang sama.

Parti itu sebenarnya hanya bergegar dan bergoyang. Ia sempat menjilat luka dan mempersiapkan diri meskipun lebih ramai pemimpinnya meninggalkan parti.

Para pemimpin yang tinggal dan telah menyatakan kesediaan untuk terus bersama Umno juga bukan calang-calang pemimpin dan punyai pengaruh. Dengan kesetiaan ini, parti yang berusia 70 tahun ini akan kekal kerana ahli-ahlinya punyai darah Umno yang mengalir di tubuh masing-masing.

Betapa pun, dalam tempoh sekarang sehingga ke tahun hadapan, apa yang akan lebih bergolak ialah di dalam PH dan bukannya di dalam Umno. Akan tiba masanya Tun M mengundur diri seperti yang beliau janjikan. Dia akan menyerahkan tugasnya kepada Datuk Seri  Anwar Ibrahim tetapi dengan kekuatan Bersatu yang barangkali lebih besar kuasa undinya daripada PKR sendiri.

Maknanya di dalam PH, Bersatu akan punyai 'bargaining power' yang lebih besar. Pada waktu yang sama, 'bargaining power' Melayu di dalam PH juga menjadi besar. Ini akan menjadi tanggungjawab para pemimpin Melayu dalam PH.

Seandainya mereka tidak melihat kuasa yang mereka ada dan suara yang mereka wakili, mereka pula akan kehilangan para pengundi.

Para pengundi hari ini bukan seperti pengundi dahulu. Mereka boleh setia sampai mati kepada parti tetapi mereka sudah tergamak memilih calon yang mereka yakini.

Sekali mereka telah derhaka kepada ikatan kesetiaan parti apabila mereka berasa diabaikan, mereka boleh ulangi apa yang telah mereka lakukan.

Dan jangan lupa, selain daripada Umno, Pas juga mewakili suara Melayu. Mereka sedang memerhati dan menanti.