KEMAMAN - Kolej Universiti TATI (TATIUC) membelanjakan hampir RM50,000 bagi melaksanakan kem kepada pelajar di 30 sekolah seluruh Terengganu menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) pada tahun lalu.

Rektor TATIUC, Prof Madya Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, inisiatif penganjuran kem-kem sebegitu dibuat dengan harapan supaya pihak sekolah dapat membantu TATIUC mengesyorkan kepada pelajar mereka untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri berkenaan.

Malah, katanya, bagi menggalakkan pelajar lepasan sekolah menyambung pengajian di TATIUC juga, pihaknya menawarkan diskaun yuran pengajian dan yuran asrama sebanyak 50 peratus bagi program ijazah dan diploma untuk siri kemasukan pelajar baharu sepanjang tahun ini.

“Dari segi kebolehpasaran kerja, kajian menunjukkan bahawa 80 peratus daripada graduan TATIUC berjaya menempatkan diri dalam sektor pekerjaan.

“Terbukti graduan TATIUC laku di pasaran, bahkan seorang pengurus besar sebuah syarikat angkasa lepas yang berasal dari England sebelum ini turut memuji graduan TATIUC kerana graduan kita miliki ilmu dan ‘hands on’ (praktikal). Dengan program pengajian futuristik yang kita tawarkan kita yakin, graduan yang dilahirkan akan terus memenuhi kehendak industri,” katanya.

Mohd Zamri menyampaikan sijil penyertaan kepada lima sekolah terlibat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup Kursus Komunikasi Berkesan dan Kerja Berpasukan Pemimpin Muda 2018 di Kampus TATIUC Teluk Kalong, di sini.

Kursus itu disertai 250 pelajar dari lima sekolah melibatkan empat dari Kemaman iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggol, SMK Geliga, SMK Sultan Ismail 2, SMK Kijal dan satu dari Dungun, SMK Kompleks Padang Jambu.

Kursus terbabit yang diadakan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri pemimpin pelajar dikendalikan 25 fasilitator terdiri dalam kalangan barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) TATIUC.

Tambah Mohd Zamri, beliau turut bangga dengan kebolehan fasilitator TATIUC mengendalikan kursus sedemikian sekali gus melahirkan graduan yang memiliki kebolehan memimpin yang tinggi dan mempunyai kemahiran komunikasi yang berkesan.

“Lebih penting, saya harapkan ilmu yang dipelajari pada kursus ini menjadi titik tolak kepada permulaan pelajar menjadi seorang pemimpin disegani,” katanya.

Pemimpin pelajar perlu mahir berkomunikasi

Sementara itu, Kaunselor SMK Banggol, Noraidah Kadir yang mencetuskan idea untuk melaksanakan kursus terbabit berkata, ilhamnya datang apabila melihat pemimpin pelajarnya gugup ketika bercakap di hadapan pelajar yang ramai.

“Dari situ saya nampak pemimpin pelajar perlu mahir dari segi komunikasi dan perlu berani bercakap di depan ramai orang. Alang-alang buat kursus, datang pula idea untuk menggabungkan sekolah lain.

“Dengan adanya gabungan ini, pelajar boleh berinteraksi dengan pelajar sekolah lain. Ia didik mereka kerja secara berpasukan kerana sebagai pemimpin, pelajar tidak boleh bersikap ‘kau kau, aku aku’ sebaliknya ia melibatkan kerja berpasukan,” katanya.

Jelasnya, peserta kursus itu terdiri daripada pembimbing rakan sebaya (PRS), pengawas, pengawas pusar sumber sekolah (PSS) dan wartawan PSS.

Dalam pada itu, Ketua Fasilitator, Muhammad Nor Hafizi Rosli berkata, mengendalikan kursus yang melibatkan paling ramai peserta itu menjadi landasan kepadanya dan barisan fasilitator untuk berlatih meningkatkan kemahiran komunikasi mereka sendiri.

“Orang kata ‘practice make perfect’, jadi kami dapat asah lagi kemahiran kami bercakap di depan audiens dan tampil lebih yakin,” katanya.