MUSIM pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di kebanyakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kini sudah bermula. Sebagai wakil pelajar, MPP bukan sekadar menyuarakan isi hati dan pandangan kepada sesebuah institusi, tetapi juga bertanggungjawab membantu melahirkan pelajar cemerlang dalam segala aspek. Justeru, ciri-ciri berikut perlu ada dalam diri setiap pelajar yang mahu menjadi MPP.

1. Sihat dari segi fizikal dan mental

Menjadi pemimpin mahasiswa sepatutnya bukan satu kebanggaan. Jika berfikir seperti itu, pasti akan membunuh niat utama menjadi MPP. Kegagalan mana-mana individu perwakilan mahasiswa dalam memberi servis pasti akan dijadikan bahan untuk dikutuk, diherdik dan sebagainya. Bakal perwakilan mahasiswa sepatutnya bersedia dengan segala kemungkinan di samping mencari jalan untuk ‘takle’ sesuatu permasalahan yang timbul. Harus kuatkan mental dengan cabaran dan masalah yang datang melanda. Kerapkan diri anda mengadakan pertemuan dengan pelajar bersama pihak pentadbiran universiti agar suara dan pendapat mahasiswa sentiasa didengari serta diambil tindakan sepatutnya.

2. Berani dalam laksanakan tugas

Sebagai MPP yang berjiwa pelajar, anda harus berani membentangkan isu-isu yang terjadi di tempat pengajian anda. Perlu menunjukkan sifat berani dan komitmen dengan kerja anda, barulah pelajar lain akan yakin dengan anda dan percaya bahawa anda mampu melaksanakan tugas yang diberikan.

3. Ekonomi yang stabil

Sebagai bakal perwakilan mahasiswa, ekonomi diri perlu stabil. Di dalam diri perlu ada ilmu dalam pengurusan wang yang baik tanpa menafikan wang atau kuasa membeli yang tinggi supaya tidak memberi kesan dalam soal perbelanjaan harian. Membuat perniagaan sampingan merupakan idea yang baik untuk menambah pendapatan di samping menunjukkan sikap berdikari mencari duit poket sendiri, lantas mampu menarik perhatian pengundi. Di situ anda telah mencuri sedikit perhatian orang ramai untuk merasai kehadiran anda.

4. Berilmu pengetahuan luas

Bakal perwakilan perlu tahu, ilmu yang ada pada mahasiswa sepatutnya disampaikan kepada masyarakat untuk mengubah nasib masyarakat. Ilmu bukan untuk disorok, malah kita akan jadi lebih berilmu jika kongsi ilmu dengan orang lain. Sebelum menjadi perwakilan, anda perlu mengisi diri dengan ilmu yang secukupnya supaya dapat membimbing pelajar lain ke arah kejayaan. Mahasiswa perlu tahu falsafah universiti ialah untuk melahirkan graduan yang menguasai ilmu serta bermanfaat kepada masyarakat kerana ilmunya.

5. Bina kepercayaan di antara pelajar

Sebagai bakal perwakilan, terapkan sifat amanah atau kepercayaan yang diberi tidak patut dikhianati. Justeru, isu-isu kebajikan mahasiswa sepatutnya disenaraikan sebagai ‘urgent’ dalam 'list-to-do'. Saat melangkah ke kampus, seseorang mahasiswa itu membawa bersama kepercayaan agama, ibu bapa dan bangsanya agar dapat memberi yang terbaik. Kepercayaan perlu dijaga sebaiknya.

6. Pentingkan Masa

Masa sememangnya perlu diuruskan dengan baik meskipun kewajipan lebih banyak daripada masa. Bagi seorang perwakilan mahasiswa, masa lapang itu masa yang sangat mencemburui. Jadi, mereka perlu menyusun masa agar dapat memberi komitmen di antara belajar dan menjalankan tanggungjawab sebagai MPP. Barulah pelajar lain buka mata dan jadikan anda sebagai role model mereka untuk berjaya.