GEORGETOWN - Lima anggota polis yang ditahan berkaitan kes kematian anggota Cawangan Khas (SB) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut ditukarkan tugas serta merta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, kesemua anggota yang disahkan positif dadah ditugaskan ke Lokap Berpusat Bayan Baru.

Menurutnya, kesemua mereka yang ditahan sebelum ini untuk membantu siasatan kes kematian anggota SB disahkan positif dadah.

"Sehubungan itu, mereka ditukarkan tugas ke Lokap Berpusat Bayan Baru dengan serta merta," katanya ketika dihubungi tadi.

Sebelum ini, lima anggota ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang anggota polis Cawangan Khas yang ditemui mati, dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Pulau Tikus, di sini.

Lima anggota polis berusia dalam lingkungan 40 dan 50 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan kerana semasa kejadian mereka berada di tempat yang sama dengan mangsa, dipercayai menghadiri satu majlis di situ.

Saringan awal ujian air kencing lima anggota polis berpangkat sarjan dan koperal yang ditahan itu positif dadah.

Minggu lalu, Sofian Shahari, 47, ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat di sebuah bangunan pasaraya selepas menghadiri majlis hari jadi rakannya di sebuah pusat hiburan situ.

Mangsa yang berkhidmat selama 19 tahun itu maut kerana kecederaan teruk di kepala, dada dan patah tangan kanan.

Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, beg dan selipar sebelah kiri yang dipakai mangsa berada di tingkat dua iaitu di hadapan sebuah klinik pergigian.

Sementara itu, di tingkat empat, terdapat kesan koyakan pada langsir di kaki lima pusat hiburan berkenaan dan dompet termasuk kad kuasa dan telefon bimbit mangsa hilang.