KEMAMAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dipercayai menjadi hamba seks kepada abang kandungnya sendiri yang berusia 14 tahun dalam kejadian di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, perbuatan terkutuk suspek yang sudah tidak bersekolah itu hanya diketahui keluarganya selepas kanak-kanak itu menceritakan perkara itu pada Isnin lalu.

"Mangsa memberitahu ibu bapanya bahawa suspek membuka seluar dan pakaian dalamnya ketika dia tidur di ruang tamu sebelum bertindak merogolnya.

"Mangsa turut mendakwa suspek kerap melakukan perkara sama terhadapnya," katanya.

Ekoran kejadian itu, bapa mereka membuat laporan di Balai Polis Ayer Jerneh, di sini, semalam untuk tindakan lanjut.

Menurut Mohd Said, suspek kemudian ditahan pada hari sama di rumahnya kira-kira jam 11.30 malam.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram.