LEBIH tiga dekad di pasaran, syarikat hartanah terkemuka, MK Land Holdings Berhad (di bawah Kumpulan EMKAY sebelum disenaraikan di Bursa pada tahun 1999) mempunyai kelasnya yang tersendiri sejak ianya ditubuhkan.

Diterajui Bumiputera, MK Land masih kekal menjadi pilihan utama pembeli yang inginkan rumah mampu milik dengan harga yang berpatutan sama ada di kawasan bandar atau luar bandar di negeri Selangor, Kedah dan Perak. 

Bagi pembeli setia MK Land, pastinya sedia maklum mengenai keistimewaan rekaan bangunan MK Land khususnya kediaman, komersial, resort dan hotel kerana mempunyai ‘jiwa’ kepada pengasasnya sendiri, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

Siapa yang tidak tertawan melihat rekaan bangunan yang menarik hasil idea asli daripada pengasasnya yang fokus untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti, malahan mempunyai rekaan unik dan memberikan keselesaan kepada pembeli dan pelanggannya.

Menyingkap kembali latar belakang Mustapha Kamal, beliau adalah anak kelahiran Kampung Changkat Pusing, Perak. Beliau menceburi bidang perniagaan pada 1982 melalui MK Associates Sdn Bhd dan projek pertamanya ialah membangunkan Taman Meru Jaya, di Selangor berharga RM6 juta di atas tanah yang dibelinya sendiri.  

Mustapha Kamal adalah seorang bekas penuntut Universiti Malaya dalam jurusan Sejarah. Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Malaya pada tahun 1970, beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan Kerajaan di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah sehingga dilantik sebagai Timbalan Pengarah Tanah & Galian Selangor.

Beliau kemudiannya beralih ke sektor swasta dan telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn Bhd sebelum menubuhkan Kumpulan Syarikat EMKAY pada tahun 1983.

Mustapha Kamal kini Penasihat MK Land Holdings Berhad, iaitu syarikat yang ditubuhkan pada 2 Ogos dan disenaraikan di papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 27 Ogos 1999.

MK Land berjaya membangunkan banyak kawasan terpencil kepada kawasan elit yang dilengkapi kemudahan infrastruktur antaranya di Damansara dan Cyberjaya, Selangor, malahan pusat perhotelan dan peranginan Bukit Merah Laketown Resort, Perak dan Ombak Villa di Langkawi, Kedah.

Selain menyediakan kediaman, komersial, perhotelan dan pusat peranginan, MK Land juga terlibat dalam bidang pendidikan dengan menyediakan Lake View College (LVC) yang terletak dalam persekitaran Bukit Merah Lake Town Resort yang telah melahirkan 1,400 graduan.

Tumpu rumah mampu milik

MK Land masih menumpukan kepada sektor kediaman mampu milik kerana ia masih menjadi keutamaan kumpulan berikutan permintaan terhadapnya tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, K Monahanachandran berkata, sebagai syarikat pemaju, sudah tentu keutamaannya melihat kepada potensi sektor tersebut.

"Kami optimis, sektor ini mempunyai potensi yang cerah. Walaupun tumpuan kami adalah kediaman mampu milik, kami juga turut membangunkan kediaman mewah untuk memenuhi kehendak pelanggan yang inginkan rumah yang lebih selesa bagi menaiktarafkan cara hidup mereka.

“Keyakinan dan kepercayaan pelanggan, memacu kepada usaha kami untuk terus membina rumah mampu milik. Kami optimis, rumah mampu milik yang kami sediakan memacu kepada pertumbuhan syarikat kerana kawasan yang dibangunkan kebanyakannya sekitar Lembah Klang,” katanya.

Monahanachandran

K Mohanachandran berkata, syarikat memfokuskan untuk membina rumah mampu milik berikutan ia adalah tumpuan pembeli terutamanya golongan yang mula memulakan kerjaya dan mendirikan rumah tangga.

“Antara kawasan projek rumah mampu milik di sekitar Lembah Klang adalah termasuk di Cyberjaya, Bukit Beruntung dan Damansara Damai. Setakat ini, jumlah rumah yang dibina ialah 48,679 unit rumah dan lebih 1,000 bangunan komersial.

“Sebanyak 65 peratus adalah rumah mampu milik manakala selebihnya adalah kediaman mewah. MK Land membina rumah mampu milik di sekitar Selangor dan Perak. Jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) adalah RM7.88 bilion dan sudah terjual adalah RM7.3 bilion, iaitu 98 peratus daripada jumlah keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, MK Land masih mempunyai tanah seluas 4,500 ekar di Selangor dan Perak.

Potensi masa depan hartanah

Berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, ia tidak menjejaskan permintaan kediaman dalam kalangan masyarakat. Rumah adalah satu keperluan dan lonjakan harga sewa rumah di kawasan tertentu juga mendorong orang ramai untuk memiliki kediaman sendiri.

MK Land mempunyai misinya sendiri untuk menyediakan rumah mampu milik dalam keadaan harga rumah yang meningkat dari semasa ke semasa. 

Mohanachandran optimis bidang hartanah mempunyai potensi yang baik dan stabil berikutan permintaan hartanah meningkat dari tahun ke tahun.

“Ini dibuktikan dengan kewujudan banyak syarikat pemaju hartanah dan penggunaan sistem binaan industri (IBS). Untuk kekal dalam bidang ini, pastinya perkara yang diutamakan adalah produk dan perkhidmatan yang disediakan memenuhi cita rasa pembeli yang inginkan keselesaan dengan harga yang berpatutan. 

“MK Land juga perlu bersaing kerana banyak syarikat pemaju hartanah dalam pasaran kerana melihat potensi industri perumahan negara yang berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata,  syarikat baharu perlu mempunyai sumber kewangan kukuh untuk bersaing dengan banyak pemaju hartanah sedia ada sekurang-kurangnya lima hingga 10 tahun akan datang untuk menjadi pemaju hartanah.

Tambahnya, landskap industri pembinaan juga masih bergantung kepada buruh dari luar negara dan penggunaan IBS dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja berbanding sistem pembinaan konvensional.

Katanya, penggunaan IBS juga merupakan satu daripada kaedah yang akan memodenkan industri pembinaan tempatan selain dapat meningkatkan produktiviti pekerja industri.

“Penggunaan IBS akan membantu pembinaan lebih cepat dan siap dibina dengan kualiti serta mengurangkan penggunaan buruh,” katanya.

Cabaran kegawatan ekonomi

MK Land juga menghadapi pelbagai cabaran antaranya tiga kali kegawatan ekonomi sejak terlibat dalam bidang hartanah.

Mohanachandran berkata, antara cabaran yang tidak dapat dilupakan ialah ketika kegawatan ekonomi pada 1997, MK Land melaksanakan pembinaan kediaman di kawasan Damansara Damai dan menawarkan dengan harga mampu milik.

“Kami tidak menyangka, walaupun keadaan ekonomi agak membimbangkan dan prosedur pinjaman pembiayaan perumahan yang diperketatkan, jualan kediaman mampu milik menjadi pilihan ketika itu. Kebanyakan pembeli adalah mereka yang mahu duduk di rumah tersebut bukannya untuk disewakan,” katanya.

Katanya, ia diikuti kegawatan ekonomi selepas tahun berikutnya, namun dengan inisiatif MK Land membina kediaman mampu milik, syarikat tidak menanggung kerugian.

“Rumah mampu milik menjadi pilihan di kawasan Lembah Klang. MK Land membina rumah mampu milik sebanyak 30,700, kediaman mewah, 14,200 dan bangunan komersial 2,700 serta tiga resort,” katanya.

Lahir peluang pekerjaan

Selain terlibat dalam bidang hartanah dan pelancongan, MK Land mengambil inisiatif menyediakan Lake View College (LVC) untuk menawarkan tujuh program pengajian di peringkat Diploma dalam bidang kejururawatan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kesihatan persekitaran, pengurusan hotel, pengurusan pelancongan, pengurusan perniagaan dan perakaunan.

“Setakat ini, LVC melahirkan 1,400 graduan dan sebahagian daripadanya menerima tawaran pekerjaan sebelum tamat pengajian. Malahan, kebanyakannya ditawarkan pekerjaan di hospital luar negara seperti di Singapura, Dubai, Jeddah dan Kanada.

“Pelbagai fasiliti pengajian dan pembelajaran yang lengkap, pengajian di LVC bukan sahaja berbentuk teori, malahan turut merangkumi amali dan latihan praktikal. Selain itu, LVC juga menawarkan yuran antara yang terendah di negara ini,” katanya. 

Beliau berkata, MK Land akan terus memacu pembangunan hartanah negara dan melahirkan tenaga kerja yang memenuhi kehendak pasaran.