NAMA Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) bukanlah asing dalam industri hartanah dan ia antara syarikat pemaju hartanah terkemuka di negara ini.

Syarikat diterajui Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings, Tan Sri Abu Sahid Mohamed yang ditubuhkan sejak 1977 itu mula menerokai perniagaan hartanah pada 1989, menerusi Maju Assets Sdn Bhd (Maju Assets) dan ASM Development Sdn Bhd (ASM Development).

Di sebalik kejayaan syarikat itu, banyak cabaran terpaksa dilalui Abu Sahid, 66.

Seawal usia 17 tahun, Abu Sahid sudah mula bekerja di sebuah stesen minyak di Singapura, sebelum makan gaji dengan sebuah syarikat Jepun dalam bidang pembinaan selama empat tahun di negara tersebut.

"Saya datang dari keluarga susah dan tidak habis sekolah. Bila saya kerja dengan syarikat Jepun, saya bertuah kerana dihantar belajar di sekolah khas untuk golongan 'separuh' belajar, pada waktu malam.

"Disebabkan sekolah malam itulah saya pandai baca pelan dan buat kerja-kerja pembinaan. Ketika bekerja dengan syarikat Jepun itu, saya selalu pasang cerucuk (piling). Disebabkan itu, saya mula mahir dalam bidang pembinaan dan akhirnya berjaya menamatkan Diploma Pembinaan Bangunan," katanya.

Sekitar 1971, Abu Sahid kembali ke Malaysia dan bekerja empat tahun di syarikat pembinaan Bumiputera, sebelum mengambil keputusan berhenti kerja untuk membuka perniagaan sendiri.

Dari sini, bermulalah episod baharu buat anak ketujuh daripada 10 beradik itu mengemudi empayar perniagaannya pada usia 24 tahun, bermula dengan menjual alat ganti kenderaan, sebelum berkembang dalam segmen hartanah pada 1989.

"Pada awal perniagaan dalam sektor hartanah, ramai yang tidak mahu membeli rumah kami disebabkan mereka kurang yakin dengan syarikat pemaju Bumiputera.

"Namun, selepas saya menukar nama syarikat kepada ASM Development, rumah yang kami bangunkan habis terjual dalam masa dua minggu kerana ramai beranggapan syarikat kami dimiliki sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia disebabkan mempunyai nama sama. Sedangkan, ia merupakan syarikat Bumiputera dan ASM merupakan singkatan nama saya, Abu Sahid Mohamed," katanya.

Menurutnya, projek pertama yang dibangunkan Maju Holdings menerusi Maju Assets adalah pembangunan Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur melibatkan kawasan seluas 85.39 hektar, pada 1989.

"Bandar Tasik Selatan sangat unik kerana tiada jalan mati, tidak seperti bandar lain di negara ini. Kelebihan yang ada pada Bandar Tasik Selatan ini memudahkan laluan keluar dan masuk bagi ambulans dan jentera bomba sekiranya berlaku kecemasan.

"Konsep pembangunan di Bandar Tasik Selatan adalah cepat, iaitu hanya 13 bulan sahaja, berbanding 24 bulan untuk suatu projek rumah siap pada ketika itu. Ia disebabkan rumah yang dibina hanya setingkat dan dua tingkat sahaja. Pembinaan menjadi lebih cepat kerana kami mempunyai material pembinaan sendiri menerusi Ipmuda Berhad yang menjadi pengedar material pembinaan terbesar di Malaysia," katanya.

Selain itu, Maju Holdings juga banyak terlibat dengan projek pembangunan antaranya termasuklah pembinaan kolej matrikulasi di seluruh negara, Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) di seluruh negara, Institut Tadbiran Awam Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan Kompleks Kastam.