SEPANG - Persaraan dua guru dalam satu masa sememangnya cukup menyedihkan.

Mahu atau tidak, pihak sekolah perlu melepaskan juga mereka.

Bagi warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu Lanjut, mereka sangat merasai akan 'kehilangan' dua guru yang cukup berkaliber, berwawasan dan disayangi oleh semua murid.

Cikgu Roszila Balia dan Cikgu Siti Zunaidah Shahid merupakan guru yang mengumumkan untuk menamatkan perkhidmatan mereka sebagai pendidik dan persaraan mereka itu telah diraikan pada Majlis Bakti Disanjung Budi Dijunjung, 22 November lalu.

Ketika GPSBestari membuat liputan di sekolah itu, jelas kelihatan yang warga sekolah bersedih.

Guru Besar, YM Raja Maimunah Raja Harun cukup terasa dengan persaraan dua sahabatnya itu.

"Mereka sangat komited terhadap tugas, begitu disenangi oleh guru-guru dan juga semua murid.

"Hujan pada pagi ini, seakan memahami akan 'ketiadaan' dua guru selepas ini.

"Semoga mereka terus dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan sentiasa di bawah lindungan Allah," katanya dengan nada sebak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut.

Turut hadir pada majlis bermakna itu ialah Penyelia Maklumat PPD Sepang, Mohd Sithik Anip, YDP PIBG, Norzali Nudin, barisan pentadbir, mantan guru besar, AJK PIBG sekolah, barisan guru-guru dan murid-murid.

Sesi penyampaian hadiah berlangsung sejurus ucapan daripada guru yang diraikan.

Kemudian, murid-murid menyanyikan beberapa lagu secara medley dan guru-guru pula menyampaikan dua buah lagu iaitu You Raise Me Up dan Inspirasi.

Akhir sekali, guru-guru yang bersara diarak keluar menaiki kereta hingga ke rumah.

Keperibadian guru bersara

Cikgu Roszila atau lebih senang dikenali sebagai Teacher Zila dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau merupakan anak kepada pasangan Balia Ibrahim dan Halimah Alias.

Pendidikan awal anak keenam daripada 11 adik beradik adalah di SK Mambau, SMK Tunku Ampuan Najihah, Maktab Perguruan Sri Kota dan  Universiti Terbuka Malaysia.

Suaminya bernama Kamsani Sahlan dan pasangan ini mempunyai lima anak dan dua cucu.

Selama 22 tahun bergelar pendidik, teacher Zila pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1995 dan 2012.

Beliau yang baru sahaja dua tahun mengajar di SK Kg Baharu Lanjut cukup terharu dengan majlis yang diadakan bersempena persaraannya.

"Terima kasih kerana bertungkus lumus merancang majlis ini untuk kami.

"Untuk semua, jaga diri baik-baik dan pada guru..didiklah murid-murid sebagai anak sendiri, ikhlas dengan pekerjaan dan jadikannya sebagai satu ibadah dan sentiasalah minta maaf pada murid jika ada kesilapan yang kita lakukan," katanya.

Cikgu Siti Zunaidah pula merupakan anak kepada Shahid Noor dan Sariaton Miskam.

Beliau dilahirkan di Ipoh, Perak dan anak ke lima daripada 6 beradik.

Berkahwin dengan Maidin Basir dan dikurniakan 4 anak.

"Sudah 20 tahun cikgu mengajar di sekolah ini. Pelbagai pengalaman suka duka yang cikgu telah lalui. Semuanya akan menjadi kenangan buat cikgu.

"Sedikit sahaja yang cikgu nak nasihatkan, pada murid-murid, belajarlah bersungguh-sungguh hingga ke liang lahad.

"Pada guru, ikhlaslah dan berbuat baiklah sesama insan," ujarnya.

 

[ LAGI GAMBAR BERKAITAN: 'SELAMAT BERSARA CIKGU..'