LONDON - Tentera Myanmar didakwa 'memburu' penduduk Rohingya yang bertemu dengan delegasi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) di Rakhine pada minggu lalu.

Ketika pertemuan itu, wakil etnik terbabit dilaporkan mendedahkan keganasan yang dilakukan oleh tentera.

Akhbar The Guardian hari ini melaporkan mereka terpaksa bersembunyi dan mungkin telah menyeberangi ke Bangladesh selepas diburu pihak berkuasa.

"Pegawai di Maungdaw telah memberi amaran keras kepada penduduk Rohingya supaya tidak membuat sebarang pendedahan tentang kerajaan atau pasukan keselamatannya. Mana-mana individu yang gagal berbuat demikian bakal berdepan 'akibat' serius," laporan akhbar berpusat di Britain itu memetik kenyataan wartawan Rohingya.

Kebanyakan penduduk Rohingya terpaksa akur dengan arahan itu kerana takut, namun tiga remaja dan seorang wanita di perkampungan Nolboinna nekad melanggar perintah tersebut.

"Tidak lama selepas delegasi antarabangsa itu meninggalkan kampung tersebut, agen dari unit risikan tentera digelar Sa Ra Pa dan Polis Pengawal Sempadan (BGP) tiba mencari mereka yang membuka mulut.

"Beberapa agen terbabit turut merakamkan perbualan itu dan meminta penduduk mencari keempat-empat individu terbabit. ," jelas laporan itu lagi.

Ketika lawatan selama sehari ke Rakhine pada 1 Mei lalu, wakil PBB melawat ke beberapa perkampungan Rohingya untuk mendengar sendiri cerita dari pihak mereka tentang kekejaman yang dilakukan tentera. - Press TV