COX'S BAZAR - BANGLADESH.Laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) mendapati hampir 60 bayi dilahirkan setiap hari di kem pelarian seluruh Bangladesh yang menempatkan ribuan pelarian Rohingya yang lari meninggalkan Myanmar.

Hampir 700,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Cox's Bazar di Bangladesh dalam tempoh sembilan bulan lalu akibat keganasan tentera Myanmar yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) , Amerika Syarikat dan Britain sebagai pembersihan etnik.

Menurut Unicef, sejak krisis bermula lebih dari 16,000 bayi lahir di kem pelarian, dan hanya kira-kira 3,000 bayi dilahirkan di pusat kesihatan.

"Hampir 60 bayi lahir dalam situasi mengerikan, ibu yang melahirkan turut mengalami trauma berikutan kekejaman, keganasan dan rogol," ujar Edouard Beigbeder, wakil Unicef di Bangladesh.

"Tidak dapat dipastikan jumlah sebenar bayi yang telah dilahirkan atau bakal dilahirkan akibat keganasan seksual.

"Adalah penting setiap ibu mengandung dan bayi baru lahir menerima bantuan dan sokongan yang mereka perlukan.

Seorang pegawai kanan kementerian kesihatan Bangladesh berkata, setakat minggu lalu, 18,300 ibu mengandung dikenal pasti di seluruh kem dan anggaran kasar menjangkau 25,000.- Reuters