GUA MUSANG - Pelantikan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan, bukanlah satu bentuk uji kaji buat kepimpinan negeri pada sesi 2018-2021.

Ketua Cabang PKR Gua Musang, Zulqarnain Zakaria berkata, setiap anggota parti perlu berlapang dada dan mengambil pendekatan inklusif bagi memastikan kelangsungan perjuangan reformasi dan keadilan.

Menurutnya, anggota harus melihat dari sudut positif bagi membawa isu-isu rakyat selari dengan idealisme reformasi.

“Sejujurnya, saya sedih melihat perkembangan politik PKR di Kelantan. Penentangan terhadap suara majoriti ketua cabang dan kuasa presiden atas lantikan adalah pengkhianatan kepada parti dan ahli.

“Tindakan segelintir pemimpin yang berkepentingan diri meletakkan parti dalam situasi tidak harmoni dan memalukan. Pemberontakan dalaman seperti ini boleh merosakkan, meletakkan parti terumbang-ambing dan lemah.

“Ia perlu dibendung dan tindakan bersesuaian perlu dikenakan kepada pemberontak parti sebelum nasi menjadi bubur,” katanya.

Zulqarnain berkata, sebagai parti yang berorganisasi, semua ahli perlu hormat keputusan presiden dan mengikut perlembagaan parti.

“Kita yakin, kepimpinan tertinggi PKR Kelantan sedang menyusun langkah proaktif bagi membentuk kesepakatan dan keyakinan semua ahli.

“Saya percaya, pelantikan ini paling tepat dan terbaik. Kekuatannya sebagai pemimpin tentu diperhalusi sebelum pelantikan dibuat. Ia bukan sebagai bahan uji kaji,” katanya.