RANTAU PANJANG - Meskipun paras air Sungai Golok semakin hampir mencecah paras bahaya 9 meter, aktiviti di sekitar pekan ini masih berjalan seperti biasa.

Malah, jalan masuk ke pekan ini masih boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati aktiviti ekonomi dan harian penduduk masih  rancak berlangsung seperti biasa walaupun hujan kadang kala turun dengan lebat.

Seorang penduduk, Mohd Nasran Nasuha berkata, setakat ini Rantau Panjang masih beroperasi seperti biasa.

"Walaupun begitu, saya tetap peka dengan paras air Sungai Golok yang kini sudah menghampiri paras amaran.

"Begitu juga dengan penduduk-penduduk lain, semuanya sudah bersedia untuk menghadapi banjir," katanya.

Menurut Infobanjir.water.gov.my paras air Sungai Golok kini bertahan dan berada pada paras 8.84 meter iaitu 0.16 menghampiri bahaya iaitu 9 meter.

Beberapa kawasan kampung rendah berhampiran Sungai Golok iaitu Jeram Perdah, Lancang, Bongo, Kelawar, Jejawi, Teresan dan Putat 7 masih ditenggelami air.