PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2017 yang bermula hari ini dianggap terpenting sebelum PRU14. Ia medan terbaik dalam meningkatkan semangat dan kesiapsiagaan jentera parti menghadapi pihak lawan dalam pertempuran yang dianggap ‘ibu segala pilihan raya’.

Pada temu bual bersama wartawan Sinar Harian, NOOR AZURA SAHRIL dan juru foto, AFIQ RAZALI di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memberi gambaran bahawa sayap parti itu komited menawarkan pelbagai manfaat khususnya kepada generasi muda.

Ia dianggap dapat mengembalikan sokongan agar BN terus mendapat mandat daripada rakyat seterusnya kekal menerajui pemerintahan negara. Pada masa sama, beliau mahu jentera Pemuda khususnya terus meningkatkan momentum untuk mengembalikan sokongan kaum Melayu terhadap parti yang telah berusia 71 tahun itu.

Segmen pengundi muda dilihat kritikal untuk BN, sebagai Ketua Pemuda apakah inisiatif digerakkan untuk menarik sokongan golongan ini?

Saya melihat pengundi muda sebagai segmen yang sangat penting dalam pilihan raya akan datang. Ada yang menganggap bahawa ini merupakan segmen yang terpenting. Sebanyak 20 peratus daripada pengundi adalah pengundi kali pertama. Pengundi baru ini mereka tiada apa-apa parti seperti dahulu, mereka tiada kesetiaan kepada mana-mana parti dan mereka melihat kepada keadaan dan akan buat keputusan pada pilihan raya.

Saya melihat salah satu cabaran untuk menerangkan pengundi muda ini berkenaan kejayaan kerajaan BN selama tempoh lima tahun ini, apa yang telah kita dicapai semenjak pilihan raya lepas dan yang kedua menerangkan perancangan yang kita punyai, bukan sahaja lima tahun akan datang, tapi dengan TN50 (Transformasi Nasional 50) untuk 30 tahun akan datang.

Ini boleh meyakinkan mereka untuk memberi sokongan kepada BN kerana saya melihat pengundi muda ini dari segi pemahaman isu, mungkin perlu ditingkatkan lagi. Bukan saya katakan mereka tidak faham isu, tetapi mungkin mereka lebih terdedah dan cenderung untuk membaca terhadap satu pihak sahaja.

Cabaran saya adalah untuk mereka membuka minda supaya tidak anggap apa sahaja yang disebut oleh pihak lawan sebagai betul dan mereka mestilah mempunyai nilai dan tahap pemikiran yang lebih matang untuk membuat sebarang keputusan dan bukan hanya memilih berdasarkan emosi semata-mata.

Apakah proses meremajakan Umno sebelum ini sudah menjadi kenyataan dan setakat mana? Adakah Umno kini boleh menjadi parti yang boleh dipercayai?

Saya melihat banyak pendekatan kerajaan hari ini yang mementingkan generasi muda daripada fokus yang telah diberikan kepada latihan, pendidikan dan keusahawanan orang muda. Pelbagai program, pembangunan yang ada kaitan dengan perumahan untuk orang muda dan sebagainya adalah tanda bagaimana kerajaan telah mengambil seruan daripada Umno, terutama daripada Pemuda Umno untuk meremajakan dasar kerajaan sudah menjadi satu kenyataan.

Saya harap orang muda akan dapat melihat bahawa seruan Pemuda Umno supaya kerajaan mempunyai satu pendekatan khusus untuk generasi muda. Melalui dasar dan program baru ini adalah bukti bagaimana kita menganggap generasi ini sebagai generasi yang penting. Kita mahu melihat Umno dan kerajaan itu diremajakan bukan hanya dari sudut pemimpin muda dalam kerajaan atau dalam parti, tetapi dalam dasar dan juga program yang banyak memberi penekanan kepada orang muda dan banyak membantu menyelesaikan masalah orang muda.

PRU13 menyaksikan persaingan yang hebat. Begitu juga jangkaan pada PRU kali ini. Jadi, apa yang akan dibawa oleh Pemuda Umno?

Saya harap kali ini dalam manifesto BN, kita ada komponen manifesto untuk generasi muda. Sama ada manifesto generasi muda itu yang dibentangkan sendiri, ataupun sebahagian daripada manifesto besar, saya rasa perlu ada tawaran baru untuk orang muda dalam manifesto BN.

Saya sedang berusaha untuk menyediakan idea-idea manifesto tersebut dan saya harap manifesto atau tawaran baru dapat diterima oleh Presiden Umno dan juga Pengerusi BN , Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sebahagian manifesto BN untuk PRU14 nanti. Tawaran baru ini akan merangkumi semua aspek, dari segi pekerjaan, perumahan, keusahawanan dan segala aspek yang ada dalam perbincangan TN50, insya-ALLAH kita masukkan dalam tawaran baru tersebut.

Perlu senarai calon yang seimbang

Bagaimana pula soal orang muda sebagai calon pada pada pilihan raya akan datang?

Soal calon ini, saya pun dah malas nak cakap mengenai calon ini, sebab nanti ada yang tersinggung bila Pemuda minta supaya lebih ramai calon muda. Tetapi kita tidak boleh lari daripada hakikat kita memerlukan satu senarai calon yang seimbang. Orang lama pun ada, wanita pun ada. Begitu juga Pemuda. Jangan tidak seimbang. Maksudnya, mungkin pernah jadi sebelum ini, saya tidak mahu sebut  pilihan raya bila dan di negeri mana, tetapi calon orang muda ini terlalu kecil bilangannya.

Sebelum ini, dalam ucapan YB ada menyentuh soal kos sara hidup yang menjadi isu utama. Adakah itu akan diketengahkan dalam perhimpunan ini?

Saya percaya kerajaan telah buat apa yang mampu dibuat untuk tangani kos sara hidup. mungkin banyak lagi yang boleh kita buat. Kalau kita lihat, salah satu komponen utama perbelanjaan orang muda adalah perumahan dan pengangkutan. Usaha kerajaan untuk menambah bilangan perumahan mampu milik adalah usaha ke arah meringankan beban dari segi perbelanjaan sewa dan pinjaman rumah. Pembinaan dan peningkatan pengangkutan awam adalah usaha kerajaan tidak perlu bergantung kepada kereta sendiri, dengan kos minyak dan sebagainya dengan menggunakan pengangkutan awam.

Kita melihat masalah ini dari segi penyelesaian yang lebih mendalam, daripada memberi penyelesaian jangka pendek seperti menambah subsidi untuk minyak dan sebagainya yang kita tahu tidak mampan terutamanya soal kewangan negara.

Bagi saya usaha seterusnya adalah untuk melihat kepada orang tengah, kepada ‘supply change’ bagaimana kita dapat membuka persaingan, supaya barang-barang perlu seperti makanan  dapat dikurangkan dan kita dapat galakkan kuasa pembeli supaya tidak ada pengusaha kedai yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang.

Dari segi kesan GST, kita mula lihat dua tahun lepas meningkat tetapi telah ‘normalize’.

Sekarang kerisauan berkenaan peningkatan harga minyak dan peningkatan kos sara hidup di bandar yang menjadi satu fenomena bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Usaha kerajaan untuk meningkatkan pengangkutan awam dan menambah rumah mampu milik adalah usaha mengurangkan perbelanjaan orang muda secara keseluruhan. Dan tentunya akan mengambil masa kerana kita melakukan pengangkutan awam mengambil masa, begitu juga bagi membina perumahan mampu milik, PR1MA dan sebagainya.

Bagaimana Umno menghadapi dan memberi keyakinan kepada rakyat?

Saya melihat kita ada pasukan yang ampuh di bawah naungan BN. Kita telah berjaya menunjukkan bahawa BN adalah pilihan yang inklusif. Mungkin berbanding beberapa tahun dahulu, sejak kebelakangan ini tidak terdengar lagi isu kenyataan berbau perkauman yang menyentuh dan menggores hati kaum lain.

Malah dalam PAU, dua tiga tahun lalu tidak ada ucapan pun yang menyentuh kaum lain. Walaupun kita berjuang untuk bangsa Melayu tetapi kita dapat menyampaikan dengan cara berhemah dan baik.

Bagi saya mungkin, masyarakat Cina, India dan masyarakat pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak melihat pendekatan Perdana Menteri untuk lebih insklusif membawa konsep satu Malaysia dan kesederhanaan sudah pun diserap diseluruh peringkat dalam Umno itu sendiri.

DNA dalam Umno cenderung kepada pendekatan yang ‘moderate’. Saya rasa ini memberi keyakinan kepada kaum lain untuk memberi sokongan kepada kita.  

Mungkin sebelum ini, mereka rasa bahawa ada tanggapan terlalu ‘Malay centric’. Ya, memang kepimpinan negara kita adalah kepimpinan Melayu di bawah BN. Tetapi tidak pernah kita membuat apa-apa yang mengetepikan kepentingan mereka.

Yakin BN boleh menang

Bagaimana YB melihat saingan daripada pembangkang?

Persaingan ini kita tidak boleh diambil mudah. Jangan kita terlalu leka kerana pilihan raya lepas telah memberi pengajaran kepada kita bahawa parti lawan mempunyai sokongan yang agak baik, bukan sahaja daripada bukan Melayu, tetapi kaum Melayu juga.

Tambah pula, satu parti baru yang ditubuhkan, mendapat sokongan kumpulan yang sama dengan Umno. Kita perlu berhati-hati, kalau kita tidak bekerja kuat, maka penyokong kita sendiri menjadi sasaran kepada Bersatu.

Kalau PKR, DAP ambil penyokong bukan tradisi Umno. Tetapi parti ini (Bersatu) serpihan daripada Umno, mesti ambil penyokong kita juga. Kerisauan saya, adalah kalau kita tidak mengambil serius saingan daripada bukan hanya Bersatu dan semua parti pembangkang, maka kita tidak akan berjaya dalam pilihan raya. Lebih baik kita tanamkan semangat tersebut di kalangan jentera supaya bekerja kuat. Saya yakin kita boleh menang. Dalam masa sama, saya juga ingin ingatkan terutama Pemuda,  bahawa kita perlu kerja kuat dan jangan mengambil mudah sokongan terutama daripada orang Melayu.

Sejauh mana tahap kesiap siagaan  Umno dalam menghadapi tohmahan alam maya?

Saya nampak kita lebih bersedia daripada dahulu. Sekarang ni apa sahaja isu dalam platform media sosial, saya lihat jawapan daripada kerajaan dan Umno itu lebih pantas dan lebih menyeluruh. Kalau dahulu, mungkin kita banyak ketinggalan dari segi kepantasan menjawab isu, dari segi bilangan penyokong dapat menyuarakan pandangan pihak kerajaan dan Umno.

Tetapi hari ini dalam apa jua isu, kita lebih baik daripada dahulu. Mungkin boleh ditambahkan lagi keberkesanan kita, tetapi dibandingkan lima tahun dahulu kita jauh lebih baik sekarang ini. Ini juga kerana pemimpin kita juga bergiat aktif dalam media sosial, dipelopori oleh perdana menteri yang sentiasa membuat ‘posting’ di media sosial.

Apakah nasihat YB dalam menaikkan semangat jentera Pemuda Umno bagi menghadapi PRU14 akan datang?

Bagi saya untuk menaikkan semangat kita kena ingatkan mereka, bahawa pertaruhan pilihan raya kali ini adalah sangat besar. Ini adalah berkenaan masa depan negara. Kalau itu tidak dapat menaikkan semangat mereka bahawa pilihan raya kali inii adalah 'ibu kepada segala pilihan raya'. Dan siapa yang menang akan dapat mencorakkan negara dalam masa lima tahun, tetapi mungkin puluhan tahun untuk pembangunan negara. Kerana selepas pilihan raya, kita akan sampai ke tahun 2020, kita bakal mencorakkan TN50 untuk 30 tahun akan datang.

Jadi siapa yang menang pilihan raya ini, akan menentukan masa depan Malaysia bukan hanya jangka masa pendek, tetapi jangka masa panjang. Itu patut membakar semangat mereka dan memberikan keyakinan kepada mereka untuk terus bekerja supaya kita dapat mandat untuk menentukan masa depan Malaysia. Takkan kita nak beri parti lawan yang menentukan masa depan kita.