TURKI - Ketika bersiaran secara langsung sebuah program televisyen bertajuk ‘Good Morning Denizli’, seekor kucing tiba-tiba melompat di atas meja pengacara sekaligus mengundang perhatian ramai pihak.

Situasi berlaku tanpa diduga itu bagaimanapun berjaya dikawal baik oleh pengacaranya, Kudret Celebioglu.

Memetik portal dukulangsat, Ketika Kudret menyedari kewujudan kucing itu, dia pada awalnya agak terkejut namun kemudian segera mengalihkan perhatian kepada 'tetamu istimewa' itu.

Menerusi rakaman itu, Kudret telah mengubah seluruh intipati program dan mengambil peluang menyampaikan maklumat berkaitan kucing jalanan kepada penonton.

"Seperti diketahui, musim sejuk bakal tiba, 'tetamu' yang tidak diundang ini perlukan pelukan dari orang ramai.

"Kita perlu membuka pintu untuk kucing jalanan memasuki ke dalam rumah serta memberi air dan makanan. Kita juga perlu menjaga dan memberi perhatian kepada kucing jalanan ini," katanya.

Rata-rata penonton memuji tindakan pengacara itu kerana bersikap profesional dalam melaksanakan tugas meskipun berlaku halangan tanpa diduga.

Difahamkan, sejurus program itu tamat, Kudret bersama rakan sekerjanya telah memberi makanan dan menyediakan tempat tidur kepada kucing istimewa itu.

Bukan sahaja itu, salah satu krew di studio telah membelanya dan akhirnya kucing jalanan terkenal itu diberikan nama Husnu membawa maksud kecantikan. - dukulangsat