BERIKUTAN kejayaan Castrol Asia Pacific Cars Super Mechanic Contest 2018, Castrol meneruskan pencarian mekanik terbaik, kali ini untuk edisi dua roda, melalui Castrol Bikes Super Mechanic Contest 2018.

Selepas berhempas-pulas selama empat bulan dalam pertandingan, pasukan Selatan telah dinobatkan sebagai juara. Pasukan ini berjaya mengetepikan hampir 2,000 mekanik lain dari serata Malaysia.

Pasukan teratas dianggotai Saravanan Sivarau, Tee Kok Jing dan Sivananthan Lechumanan, membawa pulang hadiah utama bernilai RM12,800 setiap seorang setelah menewaskan lima pasukan lain di kemuncak pertandingan.

Saravanan dan Sivananthan merupakan wakil Soon Tat Motor Enterprise manakala Tee Kok Jing mewakili Sin Yung Hin Motors.

Castrol Bikes Super Mechanic Contest 2018 edisi Malaysia bermula pada April 2018 dengan pencarian mekanik terbaik dari seluruh negara.

Sejumlah 18 mekanik membentuk enam pasukan yang setiap satunya dianggotai tiga orang, berjaya ke peringkat separuh akhir.

Pengarah Pemasaran Malaysia, Keow Mei-Shan berkata, Castrol berbangga menjadi nama utama dalam menaik taraf dan memberi dorongan kepada wira-wira negara yang tidak didendangkan seperti mekanik.

“Kami menghargai, mengiktiraf dan menganugerahkan mereka yang berkemahiran dalam bidang masing-masing.

“Kami sangat bangga dengan pasukan pemenang yang akan mewakili Malaysia di peringkat akhir Castrol Asia Pacific Bikes Super Mechanic dan ingin mengucapkan selamat berjaya kepada mereka,” katanya.

Pasukan juara akan mewakili Malaysia di pertandingan Castrol Asia Pacific Bikes Super Mechanic Contest 2018 di Bangkok, Thailand, November ini, di mana mereka akan berentap dengan mekanik-mekanik terbaik dari Thailand, Vietnam, Indonesia, Filipina dan India.