KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Syria maut, manakala rakan senegaranya cedera ringan dalam kemalangan di Lebuhraya Persekutuan dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar berhampiran Angkasapuri, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku pada jam 1.05 pagi.

"Hasil siasatan awal dilokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa memandu kereta dari arah Petaling Jaya menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur.

"Apabila sampai di Lebuhraya Persekutuan berhadapan dengan pusat membeli belah Mid Valley, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan yang berada ditengah-tengah kemudian terbabas ke kanan dan melanggar tiang konkrit flyover.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan dihempap kenderaan yang dipandu. Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian.

"Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.