KETEPIKAN  rasa malu untuk mempelajari Kalamullah.

Usia semakin bertambah tapi masih buta atau rabun al-Quran. Alasannya, malu atau tak mahu belajar al-Quran? Adakah saya terlalu sibuk sehingga tidak berpeluang untuk mendekati al-Quran? Bagaimana saya hendak bersahabat dengan al-Quran? Walaupun belajar, kenapa masih tak pandai? Inilah antara persoalan untuk bermuhasabah diri.

Al-Quran adalah kalamullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW menjadi panduan kepada semua manusia. Ilmu al-Quran perlu dipelajari dengan berguru agar dapat dibaca, difahami dan diamalkan dalam kehidupan.

Bagi Perunding kesihatan, Kevin Zahri Abdul Ghaffar, 41, tiada istilah terlewat dalam memperbaiki diri dalam mempelajari al-Quran. Sebagai Muslim, beliau terpanggil untuk mempelajari dan memahami al-Quran agar boleh dijadikan panduan hidup.

“Saya percaya sifat ALLAH yang Maha Mengetahui. ALLAH SWT tahu niat kita untuk belajar al-Quran.

Mengapa perlu rasa malu untuk melakukan perkara baik.

“Jika kita mengakui kekurangan diri kita dan berusaha untuk membaikinya, ia adalah perkara yang mulia,” ujar beliau ketika ditemui sewaktu menjadi tetamu jemputan dalam rancangan bual bicara bersama Mingguan Wanita Talkshow, baru-baru ini.

Kevin yang dilahirkan dan dibesarkan di Jerman hanya mengenali al-Quran selepas keluarganya pulang ke Malaysia pada usianya 13 tahun. Beliau yang memasuki sekolah menengah kerajaan telah mempelajari Pendidikan Islam dan mula belajar Muqaddam di rumah.

“Amalan mengaji secara berguru terputus apabila saya masuk ke sekolah berasrama di tingkatan 3 sehinggalah saya sambung belajar di Amerika Syarikat sehingga 2002. Sekembali ke tanah air, saya belajar mengaji semula dari Muqaddam.

“Bagi saya, belajar mengaji tidak perlu tergesa-gesa untuk khatam al-Quran. Apa yang penting adalah pembelajaran berkualiti. Cuma cabaran saya adalah tenaga pengajar yang silih berganti. Sukar untuk mendapatkan ustaz atau ustazah yang konsisten.

“Setelap berumahtangga pada 2010, isteri saya, Rio Elani Rio Kamal Yuhya mencadangkan untuk mendapat guru ngaji yang boleh berbahasa Inggeris. Alhamdulillah, Ustazah Norsashila Mohammad Ezan telah mengajar saya sehingga khatam pada 13 September 2015.”

Kevin melihat al-Quran sebagai simbolik penting bagi orang Islam untuk dijadikan panduan. Ia memerlukan pengorbanan untuk kita memahami al-Quran. Namun, baginya pengorbanan tersebut membawa kebahagiaan diri. Walaupun belajar mengaji mengambil masa yang lama, tetapi ia merupakan pengorbanan yang positif.

“Selepas ini, saya bercadang untuk belajar tafsir al-Quran. Kini anak-anak saya, Rafael Zahri, 7, dan Rio Mikaela, 5, sedang belajar Muqaddam, kisah nabi dan Islam daripada guru ngaji yang sama.  

“Saya berharap anak-anak saya bukan sekadar pandai mengaji, tetapi dapat mengamalkan pengajaran al-Quran dalam kehidupan sebagai orang Islam,” katanya dengan bersemangat.  

Tiada istilah malas

Pengurus Besar KUISCELL Sdn Bhd, Don Daniyal Don Biyajid yang juga tetamu bual bicara Mingguan Wanita Talkshow berkata, sikap malu sepatutnya tiada dalam kamus kehidupan orang yang belajar. Apatah lagi untuk belajar al-Quran.

“Untuk mengaji perlu ada minat. Ia ibarat hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Minat terbentuk disebabkan beberapa faktor.

“Antaranya faktor persekitaran, di mana suatu ketika dahulu, semua orang belajar mengaji di kampung. Walaupun ibu bapa kurang berilmu, tetapi anak-anak mesti dihantar mengaji.  

“Kedua, faktor paksaan kepada anak untuk belajar mengaji akhirnya timbul minat apabila pendekatan belajar al-Quran itu menarik hati mereka. Begitu juga dengan golongan dewasa yang dipaksa mengaji di tempat kerja atas arahan surat pekeliling.”

Beliau menambah, kini kita hidup dalam zaman berteknologi tinggi dan dunia tanpa sempadan, serba serbi menjadi mudah dan pantas. Namun ia tidak membantu dalam perkara yang melibatkan unsur kemanusiaan.

Contohnya ibu yang mengandung secara fitrah ada jangka waktu tertentu sebelum melahirkan bayi. Oleh itu, kecanggihan teknologi tidak dapat mempercepatkan kandungan bayi daripada 9 bulan 10 hari kepada dua minggu untuk dilahirkan.

Begitu juga dalam mengaji, kata beliau, tiada jalan pintas untuk belajar al-Quran. Seseorang yang buta al-Quran belajar membaca dengan tulisan jawi adalah lebih baik daripada tulisan rumi kerana dia belajar dalam sebutan bahasa Arab yang betul. Jika kita mahu belajar mengaji, mesti berguru.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik bagi kita untuk belajar al-Quran. Baginda SAW merupakan seorang yang ummi (buta huruf) tetapi diajar oleh Malaikat Jibril untuk membaca (Iqra’). Jibril menyampaikan ayat al-Quran kepada Baginda SAW secara beransur-ansur mengikut perintah ALLAH.

“Ini bermakna untuk belajar al-Quran untuk membaca, memahami dan mengamalkannya, ia mengambil masa yang panjang. Kita belajar kenal huruf hijaiyah, cara bacaan, makhraj dan tajwid.  

“Untuk kaedah permulaan membaca al-Quran, ia bergantung kepada kemampuan individu untuk mulakan dengan Iqra’, Muqaddam atau teknik lain. Tajwid akan datang seiring dengan belajar mengaji.   

“Apa yang penting adalah memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengajak orang belajar mengaji. Pilihlah guru ngaji yang boleh membimbing kita untuk baca al-Quran secara tartil dan boleh berbincang dari segi tadabbur dan tazakkur.”

 Beristiqamah dengan al-Quran

Don Daniyal berkata, pendekatan tadabbur dan tazakkur secara umumnya merujuk kepada mengingatkan kepada kehebatan ALLAH. Tadabbur merujuk kepada pekara yang lebih mendalam daripada ayat al-Quran. Manakala tazakkur adalah mengingati ALLAH ketika berdiri, duduk dan baring.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Tidakkah mereka menghayati al-Quran, atau apakah hati mereka sudah terkunci”. (Surah Muhammad: 24)

ALLAH SWT berfirman: “Kitab (al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajarannya.” (Surah Sad: 29)

Dalam mendekati al-Quran, kata Don Daniyal, biarlah beristiqamah. Contoh, membaca satu muka al-Quran setiap hari. Kita perlu selalu membaca untuk bersama al-Quran.

Daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya perumpamaan orang yang menghafal al-Quran itu seperti unta yang terikat. Apabila dia menjaganya, maka unta itu akan tetap ada di tempatnya dan apabila dia melepaskannya maka unta tersebut akan lari.” (Riwayat AlBukhari)

Antara tip untuk istiqamah bersama al-Qpuran pertama, perlu fokus untuk melaksanakan bacaan al-Quran; kedua, perlu ada semangat juang yang tinggi untuk belajar dengan guru ngaji ; ketiga, banyakkan berlatih membaca al-Quran dan keempat, jangan berhenti bersama al-Quran. Jika berhenti, hendak mengaji semula terasa berat dan malas.

“Ini semua memerlukan niat dan kesungguhan diri sendiri untuk berinteraksi bersama al-Quran. Diharap terus berjuang untuk baca, faham dan amalkan al-Quran. Dan berdoalah kepada ALLAH agar diberi kefahaman al-Quran, seterusnya menjadi petunjuk ke jalan yang benar,” katanya.