SEMUA  pemilik kilang kitar semula sampah import yang masih lagi mempunyai sampah berkenaan dinasihatkan untuk merujuk Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bagi melupuskan sampah berkenaan secara lebih sistematik.

Tinjauan Wartawan Sinar Siasat ke daerah berkenaan telah membawa kepada penemuan beberapa lokasi pembuangan sampah haram import yang dilupuskan tidak mengikut sistem serta mampu memberi kesan kepada alam sekitar dan penduduk setempat.

Menurut Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid, lokasi pertama dimaklumkan oleh Wartawan Sinar Siasat di sebelah Sungai Langat di Kampung Bandar Lama telah disita dan kini dalam kerja-kerja pembersihan.

“Kita sita dan kita akan bersihkan longgokan sampah terlebih dahulu. Bahkan, kesemua 55 kilang haram termasuk kilang kitar semula sampah import yang beroperasi di sini telah dipotong bekalan air dan elektrik bagi memastikan kilang tidak beroperasi.

“Sebanyak 44 kompaun telah dikeluarkan dan tujuh kilang sahaja yang kita ‘putihkan’ dalam zon operasi  sama iaitu kesemuanya perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan terlebih dahulu sebelum beroperasi,” katanya.

 Mohamad Zain berkata, aktiviti kilang haram dikesan ada di antaranya sudah beroperasi lebih lima tahun.

“Buat masa ini, kita baharu sahaja melantik satu operator sampah bertauliah untuk tujuan pelupusan sampah dengan cara lebih sistematik di Ipoh (Perak),” katanya tegas dan menolak ura-ura menyatakan sampah berkenaan kini dipindahkan secara haram ke beberapa lokasi di seluruh negara.

“Mana ada bawa ke PD (Port Dickson)… kita bawa ke Ipoh.  Kita dah sita semua kilang dan sekiranya pemilik sampah haram mahu membawa keluar sampah mereka, mereka kena minta kebenaran kita (MDKL).

Menurutnya, langkah berkenaan adalah bagi memastikan ke mana sampah berkenaan akan dilupuskan dan adakah kaedah serta syarikat pelupusan yang dipilih adalah dibenarkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Oleh itu, kita minta tuan-tuan kilang sampah import haram ini kalau nak lupuskan sampah mereka boleh rujuk kepada kita terlebih dahulu,"katanya.