RAKYAT Malaysia nampaknya boleh menarik nafas lega  dan mengabaikan dakwaan konon beberapa kawasan di negara ini akan dilanda gempa bumi tsunami teruk seperti di  Acheh pada 2004 dan Palu, Indonesia pada 28 September lalu.

Geosaintis, Prof Madya Dr Tajul Anuar berkata, masyarakat perlu memahami  keadaan geologi dan plat tektonik sekitar Asia Tenggara termasuk negara ini sebelum mencetuskan keresahan itu.

"Malaysia berada  di pinggir jalur  Lingkaran Api Pasifik  iaitu kawasan atau zon aktiviti seismos, seperti gempa bumi dan volkanik paling aktif.

"Kita di Semenanjung Malaysia di kelilingi oleh jalur pertembungan plat Lautan India-Australia (di sebelah barat daya hingga selatan) dengan plat Filipina dan Plat Pasifik (si sebelah timur) sementara  di bahagian utara pula kita ditampan oleh benua Eurasia.

"Kita  dihimpit dari setiap arah, jadi kecenderungan untuk  berlaku gempa bumi memang besar. Ada kemungkinan sesar-sesar telah lama wujud di tempat kita akan diaktifkan semula dan ini terbukti kerana adanya berlaku gempa bumi kecil yang mana bencana itu tertumpu di kawasan sesar yang lama," katanya.

Bagaimanapun kata pakar berkenaan, berbalik kepada persoalan titik gempa di Sumatera dan Sulawesi yang dikatakan menghampiri Malaysia adalah tidak tepat.

"Titik gempa tidak akan masuk ke negara kita. Ia bermula di sana (Sumatera dan Sulawesi) maka di sana juga  ia berakhir,"  kata pengkaji berkenaan.

Rajah menunjukkan kadar gerakan plat tektonik.

Tegas geosaintis itu, sebaliknya yang menjadi kebimbangan adalah pergerakan zon sesar atau patahan di Sabah yang kini terbukti mampu menimbulkan gempa bumi berskala sederhana hingga kuat (mencecah magnitud 6.0 skala Richter).

"Setakat ini rekod gempa bumi yang berlaku di Semenanjung Malaysia umumnya bermagnitud rendah. Berdasarkan pengalaman seluruh dunia pun, belum ada berlaku gempa bumi skala besar di kawasan yang terletak jauh, sekitar 500 kilometer dari Lingkaran Api Pasifik atau zon pertembungan antara plat-plat tektonik.

"Maknanya kemungkinan atau potensi untuk gempa bumi besar  berlaku di  Malaysia seperti di Acheh pada 2004 dan di Sulawesi bulan lalu,  secara relatifnya amat rendah kecuali dengan kehendak Tuhan. Satah sesar itu ada, namun dengan keadaan geologi kita yang stabil, kebarangkalian (gempa bumi dan tsunami)  sangat kecil” katanya.

Menurut beliau, Malaysia beruntung kerana bukan saja  tidak berisiko gempa bumi besar bahkan bebas daripada aktiviti gunung berapi kerana kedudukan geografi dan geologi Malaysia berada di tengah-tengah plat tektonik dikenali sebagai Plat Sunda, yang bersambung terus dengan Plat Eurasia di utara.

Tambah beliau, di pinggir barat daya dan selatan Plat Sunda`terletaknya Pulau Sumatera dan Kepulauan Jawa yang mana di sebelah tenggara hingga timur pula terletaknya Pulau Sulawesi, Borneo dan Filipina. Kesemua pulau yang mengelilingi Malaysia ini secara tidak langsung menjadi perisai atau zon penampan semulajadi kepada Malaysia terhadap impak aktiviti gempa bumi, gunung berapi dan tsunami besar yang bertumpu di sepanjang jalur pertembungan antara sempadan Plat Indo-Australia dan Plat Filipina-Pacifik dengan sempadan Plat Sunda.

"Plat-plat tektonik ini dinamik dan sentiasa bergerak. Dianggarkan plat Indo- Australia bergerak sekitar 7 sentimeter setahun manakala plat Pasifik bergerak sekitar 10 sentimeter setahun. Plat-plat ini bergerak menumpu ke arah Plat Sunda. Jadi nampak  tak,  bagaimana Semenanjung, Sabah dan Sarawak dihimpit dari semua arah. Apabila dihimpit ada kemungkinan satah-satah sesar atau rekahan sedia ada jadi tertekan dan kemungkinan sesar atau retakan yang sedia ada ini digerakkan semula antara sama  lalu  menyebabkan gempa bumi," katanya.

Namun menurutnya, biasanya gempa bumi yang disebabkan pengakitifan semula sesar lama ini cuma bermagnitud rendah atau kecil berbanding gempa bumi di sepanjang sempadan plat, yang mana  apabila berlaku di bawah laut ia boleh  mencetuskan tsunami besar.

"Misalnya dalam kes tsunami di Acheh pada disember 2004, telah berlaku lantai Laut India teranjak sekitar 20 meter  lalu menolak jasad air ke atas dan jatuh balik ke bawah lalu gelombang air laut merebak ke setiap arah. Oleh sebab itu semua garis pantai yang menyempadani Laut  India dibadai tsunami.

"Tetapi  bencana yang  berlaku di Palu baru baru ini, gempa bumi berlaku di darat dan tidak ada bukti menunjukkan  lantai Laut Sulawesi  beralih kedudukan atau teranjak. Jadi beberapa geosaintis di Indonesia berpendapat kejadian di Palu disebabkan oleh runtuhan tanah bawah laut akibat gempa bumi  hingga menganjak air lalu menghasilkan  tsunami," katanya.