PENGARAH  Pusat Geotropik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad meminta kerajaan menggazetkan (zon) kawasan yang boleh membawa risiko kepada gempa bumi dan tsunami  bagi membolehkan penduduk di sesebuah kawasan itu bersedia.

"Dari hasil kajian terhadap kawasan sumber  mungkin terjadi, kita boleh gazetkan kawasan yang berisiko dan tugas berkenaan perlu dibuat atau dilaksanakan kerajaan kerana orang ramai tak tahu.

"Selepas menggazetkan kawasan melalui agensi yang berkenaan, kerajaan juga perlu merangka dasar dan pendidikan sesuai kepada rakyat," katanya.

Menurutnya, pendidikan perlu bagi mengubah sikap masyarakat yang tidak peka dengan bencana yang bila-bila masa sahaja boleh berlaku terhadap mereka.

"Saya akui memang susah nak bentuk sikap masyarakat lebih-lebih lagi apabila sesuatu bencana itu jarang dirasai atau dijumpai.

"Contohnya macam banjir hampir setiap tahun berlaku, jadi kita dah ada 'respond' dan cara tindakan untuk menanganinya," katanya.

Berbeza dengan gempa bumi dan tsunami, katanya, kedua-dua kejadian itu jarang berlaku di negara ini.

"Oleh itu, dasar perlu diadakan di kawasan yang berisiko tinggi khususnya di kawasan sesar dan kawasan yang boleh mendatangkan bahaya.

"Perkara yang perlu dibuat adalah mengelakkan pembangunan manakala penduduk yang tinggal di kawasan sekitar juga perlu diberikan pendidikan," katanya.

Beliau berkata, pendidikan yang dimaksudkan adalah berupa cara-cara untuk menyelamatkan diri dan pemahaman berkenaan bencana yang perlu disedia dan diajar kepada mereka.

"Kalau dilihat dalam kes besar di Palu dan Acheh, Indonesia dan tsunami di negara ini pada tahun 2004 yang meragut nyawa lebih kurang 30 orang, orang ramai di situ tak sedar tsunami terjadi.

"Mereka nampak ombak bergerak kuat naik ke atas bagaimanapun mereka tak sedar bahawa itu adalah tsunami yang boleh meragut nyawa mereka," katanya.

Justeru itu, Edy Tonnizam berkata, dalam  keadaan musim cuti sekolah yang bakal tiba tidak lama lagi, rakyat negara ini perlu tahu persediaan jika berlakunya tsunami.

"Dalam keadaan musim hujan dan cuti sekolah, pasti ramai yang akan ke pantai. Jadi mereka perlu tahu tanda-tanda tsunami dan apakah perlu dibuat jika tsunami betul-betul melanda pantai.

"Saya fikir pendidikan ini mungkin masyarakat sudah ada sekarang, saya nampak cara-cara untuk menyelamatkan diri seperti itu sudah dilaksanakan di Kuala Muda, Kedah dan pantai barat Sabah," katanya.

Namun begitu, tegasnya, usaha ini boleh diperkukuhkan lagi dengan memperincikan jenis bahaya dan bencana yang mungkin boleh berlaku di satu-satu kawasan di situ.