PORT Dickson bukanlah nama asing dalam sektor pelancongan di Malaysia. Sudah berpuluh tahun menjadi tumpuan pelancong baik dari dalam atau luar negara.

Dek kerana popularnya Port Dickson, maka berlumba-lumba ahli perniagaan bina hotel, resort, motel.

Walaupun terdapat banyak tempat penginapan di Port Dickson, namun saban minggu hampir semua penuh, laku seperti ‘pisang goreng panas’.

Hujung minggu serta cuti umum, lazimnya waktu itulah ramai pengunjung datang ke pusat pelancongan berkenaan. Kebanyakannya terpesona dengan keindahan pantainya.

Baik dari Lukut hinggalah ke Linggi, anda boleh nampak banyak hotel sepanjang perjalanan. Rambang mata dibuatnya. Namun, jika anda ke Port Dickson selepas ini, apa kata anda cuba menginap di D’ Wharf Hotel and Services Residence.

Ruang tidur yang selesa.

Terletak di Persiaran PD Waterfront, hotel ini antara terbaik di Port Dickson. Syukur penulis diberi kesempatan menginap selama dua minggu di sana.

Bertugas sebagai wartawan, berhadapan pula kesibukan PRK Port Dickson baru-baru ini, pilihan menginap di D’Wharf sememangnya pilihan tepat. Bilik berkonsepkan apartmen membuatkan penulis rasa seperti di rumah sendiri pula.

Pertama kali menjejakkan kaki ke lobi hotel, sudah terasa aura positifnya. Manakan tidak, penyambut tetamu di hotel tersebut cukup mesra. Senyuman sentiasa terukir di bibir.

Segala urusan penempahan bilik berjalan lancar. Usah kata penyambut tetamu, pengawal keselamatan juga mesra. Sememangnya, keseluruhan kawasan hotel dipenuhi aura positif.

Selesai mendaftar, penulis bergerak ke bilik di tingkat dua. Keluar saja lif, mata tertancap ke sebuah kolam renang di tengah bangunan, agak besar juga saiznya. Ada juga sedang mandi-manda.

Rasa mahu terjun terus, mahu sertai mereka, namun semuanya harus diketepikan dahulu kerana perlu mengutamakan kerja. Tapi, dalam hati sudah pasang niat, kena ‘terjun’ juga nanti.

Perjalanan diteruskan, masa untuk menjengah bilik. Sebaik masuk, penulis agak kagum. Hiasan dalamannya ringkas, namun sedap mata memandang. Perabot tidak banyak, namun ia sudah lebih dari selesa untuk penulis.

Televisyen, ketuhar gelombang mikro, pemanas air, meja santai, ada semuanya, persis seperti di rumah keadaannya. Pertama kali masuk, sudah jatuh cinta tapi nanti dulu, ada yang lebih menarik.

Selepas mengemas barang, penulis pergi ke hujung bilik, ada langsir besar di situ. Sebaik disingkap langsir, nah! Terbentang luas laut di hadapan mata. Indah sungguh pemandangan, penat badan hilang terus tatkala menikmati keindahan alam.

Waktu tidur di bilik tersebut sangat selesa. Penulis memang suka cuaca sejuk jadi penghawa dingin sentiasa terpasang pada waktu malam. Nyaman sungguh tidur dalam keadaan sejuk sebegitu.

Buka pula tingkap, maka terdengarlah deruan ombak umpama melodi indah mendodoikan penulis. Jika anda datang bersama pasangan, ia pastinya menjadi antara kenangan terindah buat anda.

Suasana bilik yang nyaman dan tenteram.

Cuaca sejuk, kedengaran bunyi ombak, terlihat bintang di langit. Nikmat apa lagi yang mahu penulis dustakan? Tiada, cukup sempurna!

Paginya pula, penulis bersarapan di Sky Pool Cafe di hotel itu juga malah ia termasuk dalam pakej penginapan. Banyak pilihan makanan, anda boleh pilih apa saja anda suka. Rasanya juga sedap. Syabas kepada chef terlibat.

Antara kemudahan lain yang ada di hotel itu adalah gimnasium, taman permainan kanak-kanak, servis membersihkan bilik malah ada pantai peribadi juga. Jadi, bolehlah menikmati keindahan pantai dengan selamat dan sedikit privasi.

Dua minggu menginap di sana, terasa seperti berada di rumah, sangat selesa. Jika ada peluang, pasti penulis akan ke sana lagi. Harganya juga berpatutan, bolehlah bawa keluarga melancong ke sana pula selepas ini.

Oh ya, sempat juga penulis ‘terjun’ ke dalam kolam sebelum berangkat pulang. Sebenarnya, banyak perkara menarik boleh diceritakan sepanjang penulis menginap di sana, namun ruangan pula tidak mencukupi.

Jadi, jika anda ingin menikmati keindahan alam, menginap pula di hotel moden dan selesa, maka D’ Wharf Hotel and Services Residence adalah pilihan terbaik buat anda.

Percayalah, anda tidak akan menyesal. Datang dengan senyuman, pulang juga dengan senyuman.