PUTRAJAYA - Selepas 24 jam warkah dari Cordova dititipkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof kepada Nurul Izzah Anwar,  Puteri Reformasi itu masih membisu daripada memberikan sebarang reaksi.

Sinar Harian cuba mendapatkan respons Ahli Parlimen Permatang Pauh itu melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp, namun tidak mendapat sebarang jawapan.

Hasil carian di laman Facebook rasmi dan Twitter Nurul Izzah juga mendapati bekas Naib Presiden PKR itu tidak memuat naik sebarang status berkaitan warkah panjang Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Mujahid semalam memuat naik Warkah dari Cordova yang ditujukan kepada Nurul Izzah yang isi kandungannya berkaitan keputusan bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu mengundurkan diri daripada jawatan tersebut.

Warkah tersebut mendapat pelbagai reaksi dan mengundang komen-komen sinis netizen dan bekas pemimpin kerajaan susulan gaya bahasa yang digunakan menteri agama itu.

Bagaimanapun Mujahid melalui status Facebooknya hari ini berkata, beliau sengaja memilih lenggok bahasa demikian untuk menyampaikan mesejnya.

"Seronok saya membaca komen-komen  berkisar warkah saya kepada YB Nurul Izzah. Saya sengaja memilih lenggok bahasa begitu untuk menyampaikan mesej saya kali ini. Ternyata istilah kekanda adinda lebih menarik perhatian semua,"ujarnya.

Mujahid turut mengucapkan penghargaan atas teguran yang diberikan kepadanya.

Beliau bagaimanapun meminta isi kandungan warkah itu dihayati kerana mungkin berguna untuk generasi muda.

"Mohon dibaca serta dihayati isi kandungannya. Mungkin berguna buat generasi muda yang melalui liku-liku politik dalaman sama seperti yang saya pernah lalui," tulisnya.