SHAH ALAM - Setiap individu yang meraih populariti diiringi dengan satu tanggungjawab besar yang perlu ditunai untuk mendidik masyarakat ke arah positif.

Penyanyi malar segar, Wan Aishah Wan Ariffin berkata, individu popular samaada sebab kerjaya seninya, berada dalam bidang penyiaran, kerana politiknya atau bakat lain yang dimiliki tidak dapat lari daripada tanggungjawab.

Menurutnya, setiap tindak tanduk individu popular menjadi perhatian ramai justeru itu individu berkenaan perlu bertanggungjawab menjaga adab dan tingkah laku samaada di media sosial mahupun di alam nyata kerana ia akan meraih ikutan ramai.

Zaman dulu, orang menjadi popular kerana sering keluar televisyen atas bakat mereka demi mencari sesuap nasi tetapi hari ini, ramai yang berlumba-lumba meraih popular.

Budak kecil buat live video di media sosial pun dah boleh jadi viral. Mereka buat sesuatu yang tak masuk akal dan viral kemudian popular tanpa bersandarkan bakat tertentu.

Selama 31 saya menyanyi dan dikenali saya terfikir sendiri, kenapa masyarakat hari ini hendak diri mereka dikenali oleh khalayak.

Saya dikenali kerana ia sebahagian daripada skop kerja, saya menyanyi dan popular itu datang dengan sendirinya. Kalau saja-saja nak popular, lebih baik jangan la.. penat melayan orang lain.

Sebelum nak jadikan diri popular, kena tanya diri sendiri samaada mempunyai jiwa kental atau sebaliknya, mampu atau tidak pikul tanggungjawab.

Aishah mahu guna populariti untuk kerja amal

Penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu, berazam mahu memberi tumpuan kepada kerja amal dan khidmat sosial.

Menurutnya, perkara tersebut telah dilakukan lama dan mahu lebih cenderung ke arah itu tahun hadapan dengan memanfaatkan media sosial.

Saya mungkin boleh membantu persatuan atau badan kebajikan mempromosikan di media sosial program mereka bagi mengutip dana dan terlibat sama turun padang dengan mereka.

Saya akan guna populariti saya untuk bantu perkara-perkara kebajikan.

Penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin antara contoh terbaik selebriti yang boleh dijadikan ikutan ramai kerana beliau dapat menyeimbangkan antara kerjaya, perniagaan dan khidmat sosialnya kepada masyarakat.

Gembira tak menang dalam PRU13

Dalam pada itu, Aishah juga memberitahu, selaku individu yang popular, dia melalui banyak ranjau antaranya disenarai hitam dari bersiaran di televisyen kerana terlibat dengan politik dan mewakili pembangkang.

Saya pernah di senarai hitam selama enam ke tujuh tahun tapi saya tak menyesal melalui pengalaman itu malah terlibat dalam politik adalah sebagai satu tanggungjawab yang perlu dipikul.

Tapi saya tak nafikan, saya calon yang paling happy (gembira) apabila tidak menang (PRU13), sebab untuk jadi pemimpin ia memerlukan satu pengorbanan dan tanggungjawab besar.

Walaupun melalui pengalaman disenarai hitam, saya masih lagi aktif dalam bidang seni menghadiri undangan nyanyian sehinggalah berjaya menjadi johan sebuah rancangan nyanyian pada tahun 2017.

INFO

Perkara utama apabila popular

Bertanggungjawab

Berjiwa kental

Gunakan ke arah kebaikkan